Anggota APMM menunjukkan bubu naga yang dirampas di perairan Sungai Tongkang dekat Batu Pahat semalam. Foto Ihsan APMM
Anggota APMM menunjukkan bubu naga yang dirampas di perairan Sungai Tongkang dekat Batu Pahat semalam. Foto Ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


LAPAN belas bubu naga yang diharamkan penggunaannya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat di perairan Sungai Tongkang dekat Batu Pahat semalam.

Bagaimanapun, beberapa individu yang sedang memasang bubu naga itu sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan APMM kira-kira 6 petang.

Pengarah APMM Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Othman berkata, pada mulanya pihaknya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran sedang memasang bubu naga.

Menurutnya, beberapa individu yang berada dalam bot itu bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek serta meninggalkan bubu naga bagi mengelak ditahan,” katanya.

Katanya, semua bubu itu dirampas kerana penggunaannya menyalahi peraturan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Sepanjang bulan ini, kami sudah merampas 64 bubu naga di sekitar perairan Batu Pahat,” katanya.

Beliau menegaskan penggunaan bubu naga secara haram boleh menjejaskan sumber perikanan kerana ia tidak selektif selain turut memerangkap anak ikan komersial.

“Penggunaan bubu naga turut menjejaskan hasil pendapatan nelayan pantai,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengingatkan nelayan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, sebarang aduan mengenai pelanggaran undang-undang dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 11:13 AM