POLIS bersama barang rampasan. FOTO Essa Abu Yamin
POLIS bersama barang rampasan. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Muar: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran arak tidak bercukai di daerah ini apabila merampas arak bernilai RM248,018.71 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bakri dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, serbuan pada 9 malam menerusi Op Kontraban itu dijalankan sepasukan Task Force Kontraban Johor hasil daripada risikan selama seminggu.

"Dalam serbuan itu juga polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang juga dipercayai adalah pemilik kepada arak tidak bercukai berkenaan.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan baru sahaja sebulan bergiat aktif dan memasarkannya di sekitar daerah ini," katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan yang sama.

"Rampasan membabitkan 4152 tin arak dan 575 botol arak pelbagai jenama serta sebuah kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.

"Nilai anggaran cukai sebanyak RM51,326 manakala nilai anggaran barangan rampasan arak sebanyak RM158,018.71 dan nilai anggaran kenderaan berjumlah RM90,000," katanya.

Katanya, suspek yang ditahan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1), Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 6:13 PM