Tiga suspek warga tempatan ditahan bersama arak seludup tanpa pelepasan cukai bernilai RM49,049.03 di Kampung Teratai Tangkak dalam Ops Kontraban awal pagi, semalam.
Tiga suspek warga tempatan ditahan bersama arak seludup tanpa pelepasan cukai bernilai RM49,049.03 di Kampung Teratai Tangkak dalam Ops Kontraban awal pagi, semalam.
Ahmad Ismail


Tangkak: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Johor merampas minuman keras bernilai RM49,049.03 menerusi Ops Kontraban di Kampung, Teratai Bukit Serampang, Ledang, awal pagi semalam.

Timbalan Komander (PPM) Wilayah Dua, Johor, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari PPM Wilayah Dua, Johor dan dibantu oleh PPM Wilayah Dua, Muar, jam 2 pagi hasil dari maklumat awam serta risikan

"Pasukan serbuan menahan tiga lelaki tempatan berusia 18 hingga 32 tahun dan merampas sejumlah 468.92 liter minuman disyaki tidak mempunyai cukai kastam bernilai RM 49,049.03.

"Turut dirampas, peralatan memproses arak dan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipercayai digunakan dalam sindiket pengedaran arak seludup tersebut.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 76,049.03," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Memperbaharui undang-undang (penghapusan samsu gelap).

Pasukan Polis Marin Wilayah Dua meminta orang awam menyalurkan semua maklumat kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, PATI dan lain-lain.

Sebarang maklumat boleh disalurkan terus melalui talian telefon 07 2372222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 2:30 PM