Polis merampas pelbagai barang bernilai lebih RM726 juta dalam pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah bagi tempoh 1 Januari hingga 14 September lalu. FOTO Ihsan Polis
Polis merampas pelbagai barang bernilai lebih RM726 juta dalam pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah bagi tempoh 1 Januari hingga 14 September lalu. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis merampas pelbagai barang seperti ubat-ubatan palsu, barang tidak bercukai kastam, haiwan dan hidupan liar bernilai lebih RM726 juta dalam pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah bagi tempoh 1 Januari hingga 14 September lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, daripada serbuan yang dilakukan itu seramai 3,764 individu ditahan.

Beliau berkata, serbuan terbaru adalah pada 7 September lalu yang dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman bersama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras membawa kepada tiga serbuan di Kajang.

"Hasil serbuan berjaya menumpaskan sindiket kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam serta pembongkaran kewujudan dua makmal haram memproses arak tiruan jenis liquor bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Seramai 10 individu terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan lima lelaki dewasa warga asing turut ditahan.

Rampasan juga dilakukan terhadap sejumlah 73,800 karton rokok pelbagai jenis dan 24,573 kotak minuman keras jenis liquor yang kedua-duanya tidak bercukai kastam. Jumlah nilai rampasan dianggarkan RM36,083,010 termasuk nilai cukai,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, menerusi serbuan yang dijalankan, pihaknya turut merampas peralatan dan mesin memproses minuman keras dan tiga kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilaiRM395,575.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM36,478,585. Semua suspek ditahan reman di Ibu Peiabat Polis Daerah (IPD) Kajang di bawah Seksyen 116C Akta Kastam, Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Polis sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi supaya hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 9:34 PM