Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran arak tidak bercukai di daerah ini dan Yong Peng serta rampasan bernilai RM1.3 juta dalam serbuan ke atas sebuah stor syarikat menjual arak di Taman Cahaya Baru, Yong Peng dekat sini, kelmarin.

Serbuan pada jam 10.15 pagi menerusi Op Kontraban itu dijalankan sepasukan anggota Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar hasil daripada risikan selama dua minggu.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Rozasin Ramlan berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dipercayai sebagai penjaga stor turut ditahan.

Katanya, pemeriksaan mendapati sebanyak 854 kotak arak pelbagai jenama menggunakan setem cukai kastam yang dipercayai palsu.

"Rampasan membabitkan 21,470 botol atau 9,746 liter mengandungi 33 peratus hingga 40 peratus kandungan alkohol," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan berkenaan berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran arak tidak bercukai di kawasan sekitar Batu Pahat dan Yong Peng.

 Arak tidak bercukai bernilai RM1.3 juta berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah stor premis perniagaan di Taman Cahaya Baru, Yong Peng, kelmarin. FOTO Essa Abu Yamin
Arak tidak bercukai bernilai RM1.3 juta berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah stor premis perniagaan di Taman Cahaya Baru, Yong Peng, kelmarin. FOTO Essa Abu Yamin

"Dipercayai masih ada lagi saki-baki sindiket yang masih bebas dan pihak kami giat mengesan mereka.

"Suspek berkenaan ditahan reman sehari berakhir semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Batalion 6 PGA Bakri melakukan 10 serbuan membabitkan Op Kontraban di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM4.6 juta.

"Serbuan dilakukan daripada 1 Januari 2021 hingga semalam berjaya menahan seramai 22 orang suspek berusia 17 hingga 56 tahun yang terbabit secara langsung dalam aktiviti penyeludupan barang-barang kontraban.

"Antara barangan yang dirampas adalah rokok, arak, dadah, mercun dan kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 1:41 PM