ARAK yang dirampas susulan penangkapan empat lelaki tempatan. FOTO Ihsan PGA.
ARAK yang dirampas susulan penangkapan empat lelaki tempatan. FOTO Ihsan PGA.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Satu rangkaian sindiket pengedaran arak tidak bercukai sekitar daerah ini dilumpuhkan susulan tangkapan empat lelaki tempatan dalam serbuan di Jalan 7, Taman Delima, di sini, petang semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 5.30 petang, ketika anggota sindiket sedang memunggah arak tidak bercukai dari lori ke sebuah van.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang berkata, hasil serbuan, pihaknya menemui 300 kotak yang mengandungi 3,600 botol arak jenama Tsingtao yang tidak mempunyai cukai kastam dianggarkan bernilai RM192,900.

"Susulan itu, kami menahan empat lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 31 tahun yang sedang memunggah arak berkenaan.

"Kami turut merampas sebuah lori jenis Isuzu seberat tiga tan dan sebuah van jenis Toyota yang digunakan dalam aktiviti penjualan arak tidak bercukai itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dimin berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM352,900.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 11:05 AM