ANTARA lelaki yang ditahan dan barangan yang dirampas PGA. FOTO ihsan PGA
ANTARA lelaki yang ditahan dan barangan yang dirampas PGA. FOTO ihsan PGA
Norzamira Che Noh


Klang: Satu sindiket pengedaran rokok serta minuman keras tidak bercukai di sekitar Pandamaran, dekat sini lumpuh apabila tiga lelaki termasuk dua warga Bangladesh ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, tiga lelaki berusia 35 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar daerah Klang menerusi Op Kontraban PGA Semenyih.

"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan bersama sebuah lori yang dilihat mencurigakan di Jalan Solok, Pendamar Indah 1, Pelabuhan Klang.

"Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui sejumlah 85 karton minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama yang disembunyikan dalam lori berkenaan.

"Anggaran nilai rampasan minuman keras adalah sebanyak RM3,840 dengan cukai bernilai RM4,278," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu pihaknya membuat serbuan kedua di Taman Pendamaran Permai, Pelabuhan Klang dan menahan dua lelaki warga Bangladesh.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sembilan karton minuman keras dan 136 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama.

"Anggaran nilai rampasan minuman keras berjumlah RM3,456 dan nilai cukai sebanyak RM3,850 manakala nilai rampasan rokok adalah berjumlah RM9,662 dengan nilai cukai RM14,332.80.

"Turut dirampas sebuah kenderaan dan lima telefon bimbit. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM115,821.50," katanya.

Rizal berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 11:51 AM