MOHD Ali Hanafiah (berdiri kanan) bersama Ma. Sivanesandi (berdiri kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama, Anugerah Geran Kajian Digital dan Simposium Penyelidikan 2022 di Putrajaya hari ini. FOTO Bernama
MOHD Ali Hanafiah (berdiri kanan) bersama Ma. Sivanesandi (berdiri kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama, Anugerah Geran Kajian Digital dan Simposium Penyelidikan 2022 di Putrajaya hari ini. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), menandatangani dan penukaran dokumen kerjasama dengan beberapa institusi tempatan dan global dalam usaha merealisasikan pembangunan bakat digital serta pemerkasaan ekonomi digital menerusi kerjasama strategik.

Ia membabitkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) dan Agensi Nuklear Malaysia.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM berkata, majlis memeterai dokumen kerjasama berkenaan yang disaksikan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus itu mencerminkan komitmen SKMM dalam meningkatkan pembangunan bakat dan keupayaan bagi memenuhi kapasiti industri komunikasi dan

multimedia negara.

"Di bawah kerjasama dengan UniKL, kerjasama itu bakal dijalinkan menerusi program pembangunan pentauliahan yang akan memberi peluang kepada golongan dewasa khususnya pekerja untuk menambah nilai kemahiran agar kekal relevan dalam kerjaya masing-masing.

"Sementara itu, jalinan kerjasama dengan pihak MBOT dan Agensi Nuklear Malaysia pula memberi fokus dalam membangunkan program pensijilan berkaitan bidang teknologi, terutamanya dalam telekomunikasi dan penyiaran, keselamatan siber, pengkomputeran dan Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (RF-EMF)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada latihan kemahiran digital, SKMM turut memeterai kerjasama dengan Google untuk menyediakan biasiswa kepada mereka yang kurang berkemampuan menjalani kursus dan mendapat Sijil Kerjaya Google di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

Katanya, kursus disediakan termasuk Sokongan IT, Automasi IT, Analisis Data, Reka Bentuk UX, Pengurusan Projek atau Pemasaran Digital dan E dagang.

"Selepas selesainya menghadiri kursus-kursus tersebut, mereka akan mendapat Sijil Kerjaya Google di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi). Dengan adanya Sijil Kerjaya Google, ia juga memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk memohon pekerjaan menerusi Konsortium Majikan oleh Google," katanya.

Pada majlis sama, Mohd Ali Hanafiah turut mengumumkan penganugerahan Anugerah Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG) kepada sembilan penerima bagi kitar pertama tahun 2022.

Katanya, semua sembilan penerima anugerah terbabit dipilih daripada 183 pemohon geran yang melalui proses pemilihan ketat.

"Dapatan kajian yang dijalankan penerima anugerah DSRG mampu memberi input berharga kepada SKMM dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih jitu.

"Sejak tahun 2008 lagi, SKMM menganugerahkan geran penyelidikan membabitkan dana sejumlah RM3.8 juta dan setakat ini, inisiatif berkenaan menghasilkan sebanyak 56 projek penyelidikan.

"Keprihatinan SKMM dalam perkara ini turut terserlah apabila suruhanjaya memberi komitmen untuk terus memperuntukkan sekurang-kurangnya RM200,000 setahun bagi geran penyelidikan," katanya.

Bersempena dengan majlis penganugerahan Geran DSRG itu juga, satu simposium bertemakan: Ke Arah Malaysia Yang Lebih Inklusif: Pandangan Penyelidikan Mengenai Implikasi Komunikasi Digital Terhadap Masyarakat turut dianjurkan dan menjadi platform bagi pihak akademia dan pihak berkepentingan lain untuk berbincang mengenai topik penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh semua termasuk pihak universiti, agensi kerajaan dan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 5:48 PM