Amir Abd Hamid

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua syarikat telekomunikasi di negara ini membangunkan bakat kepakaran dalam kalangan rakyat supaya dapat meneroka alam pekerjaan berkaitan bidang teknologi baharu.

Beliau berkata, hanya menerusi pembangunan bakat itu, martabat Malaysia dapat diangkat dari sudut transformasi digital yang diperluaskan ke semua peringkat.

"Saya mahu menggesa selain PEDi (Pusat Ekonomi Digital), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi dan Digital, saya mahu syarikat telekomunikasi memberi tumpuan lebih supaya agenda pembangunan dan kecanggihan teknologi dapat membantu rakyat.

"Syarikat telekomunikasi harus melihat bidang (peningkatan kemahiran) ini untuk membantu melahirkan bakat kepakaran yang diperlukan, supaya dapat memberi latihan khusus (kepada rakyat) untuk meneroka alam pekerjaan dalam bidang teknologi baharu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan PEDi Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; timbalannya, Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

ANWAR ketika merasmikan Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Madani 2023 di Putrajaya. Turut kelihatan Fahmi, Teo dan  Mohamad Fauzi (kanan).FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR ketika merasmikan Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Madani 2023 di Putrajaya. Turut kelihatan Fahmi, Teo dan Mohamad Fauzi (kanan).FOTO Mohd Fadli Hamzah

Perdana Menteri berkata, hanya menerusi pembangunan bakat terbabit, negara dapat memaknai erti keadilan dan madani.

Katanya, sama seperti beberapa syarikat besar yang membuat pelaburan di Malaysia, termasuk Infineon, Geely, Google dan Elon Musk, mereka memerlukan tenaga kepakaran tambahan yang mampu membawa syarikat masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

"Inilah cabaran yang kita hadapi kerana apabila tanya Infineon, tanya Geely, semua menyatakan, mereka memerlukan kepakaran tambahan dalam bidang terbabit sehinggakan Geely hantar 300 orang ke China untuk memberikan latihan kepakaran tambahan.

"Jadi saya melihat syarikat telekomunikasi juga harus melihat bidang-bidang ini untuk membantu melahirkan bakat kepakaran yang diperlukan dalam teknologi baharu," katanya.

Mengenai PEDi, Anwar berkata, pusat itu antara strategi penting kepada negara dan ia harus dilaksanakan dengan lebih berhasil.

"Sebab itu sebelum ini saya pernah umumkan supaya kegiatan PEDi diperluaskan di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) supaya keluarga PEDi menjadi lebih besar.

"Kita mulakan peruntukan RM25 juta dalam Belanjawan 2024 dan sekiranya untuk memenuhi (keperluan), saya akan ikhtiar untuk tambah peruntukan pastikan PEDi ini diperluaskan," katanya.

Beliau berkata, asakan baharu tunjang pembangunan yang tidak boleh mengenepikan kepentingan digital namun harus berwaspada dengan bahaya kesan kalau ia tidak membantu mengangkat martabat rakyat yang kurang bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 5:37 PM