GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneruskan usaha mewujudkan ekosistem untuk pusat data yang menawarkan kepakaran khusus dan perkhidmatan pengkomputeran awan berteknologi tinggi.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia selaras dengan hasrat merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mengenai penyediaan akses bermutu tinggi dan menyeluruh kepada infrastruktur digital agar Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi, berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

SKMM menjelaskan 12 penyedia ibu sawat Internet (IXP) sedia ada akan ditambah kepada 66 pada 2025.

IXP memastikan pertukaran trafik Internet antara penyedia perkhidmatan lancar dan rangkaian penghantaran kandungan menjadi lebih pantas dan mengurangkan keperluan transit huluan data (upstream data) untuk mengurangkan kos hantaran.

Bagi mengukuhkan ekonomi digital setempat bagi semua lapisan rakyat terutamanya golongan B40, 873 Pusat Internet Komuniti kini ditransformasi menjadi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

SKMM memaklumkan bilangan PEDi, yang berperanan memperkasakan aktiviti ekonomi digital dengan membangunkan kemahiran penggunaan Internet serta meningkatkan penglibatan e-dagang, akan ditingkatkan dengan sasaran satu PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

SKMM juga akan terus mempergiatkan program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) bagi mendorong usahawan mikro beralih kepada pendigitalan yang bakal memanfaatkan 800,000 usahawan mikro menjelang 2025.

Mengenai pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), SKMM memberitahu buat masa ini, pelaksanaannya mencapai sasaran pencapaian pada setiap suku sejak September 2020.

"Kesalinghubungan yang menyeluruh serta teknologi 5G mampu mengubah trajektori ekonomi digital negara dan mencetuskan Revolusi Perindustrian Keempat yang akan menyumbang sejumlah 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025," menurut SKMM.

Pelaksanaan JENDELA (2021-2025) bertujuan meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar 4G di seluruh negara. Ia bermatlamat merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar serta mencetuskan inovasi digital yang bakal membangunkan ekonomi digital.

Menerusi JENDELA, rangkaian 4G turut dimantapkan dengan menamatkan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 agar spektrumnya dapat dimanfaatkan oleh khidmat rangkaian 4G, sekali gus mempercepatkan pelancaran 5G pada penghujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 12:17 PM