KHUZAIMAH dan suaminya mengusahakan perniagaan batu nisan di Kampung Tanjung Belit, Sik.
KHUZAIMAH dan suaminya mengusahakan perniagaan batu nisan di Kampung Tanjung Belit, Sik.

Sik: Bermula sebagai ejen menjual batu nisan kira-kira tujuh tahun lepas, Khuzaimah Shaari@Nasir dari Kampung Tanjung Belit, dekat sini, tidak menyangka kini berjaya mengusahakan perniagaannya sendiri.

Khuzaimah, 40, berkata dia dan suami, Mohd Shauki Ahmad Sanusi, 40, yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman membuat batu nisan, membuat carian melalui internet dan mula belajar dari situ.

Selain itu, dia dan suaminya berasa bertuah apabila 'dipertemukan' dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang banyak membantu dalam meningkatkan kemahiran mereka menjalankan perniagaan khususnya berkaitan pemasaran.

"Apa sahaja bengkel atau kursus keusahawanan dianjurkan PEDi, saya akan sertai untuk menambahkan ilmu, khususnya dari segi pemasaran dan penggunaan media sosial seperti Facebook dan TikTok sebagai medium pengiklanan.

"Pendapatan juga bertambah kepada lima angka sebulan, berbanding pada awal pembabitan kami dalam pembuatan batu nisan. Selain Kedah, kini kami juga membuat pemasangan dan penghantaran batu nisan hampir ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata jualannya kini semakin meningkat dan batu nisan diperbuat daripada batu sungai dan batu gunung antara yang sering ditempah pelanggan, selain batu nisan dihasilkan daripada 'terazo' dan granit.

Sementara itu, seorang lagi usahawan bimbingan PEDi, Siti Najwa Ahmad, 42, dari Kampung Charuk Padang dekat sini berkata dia dapat mempelajari cara memudahkan urusan pelanggan untuk membuat pembayaran tanpa tunai menerusi program dianjurkan PEDi.

"Saya mengusahakan perniagaan jualan jambangan bunga dan hadiah, dan menerima pelbagai bentuk pembayaran daripada pelanggan … kini selain tunai dan pembayaran dalam talian, pelanggan juga boleh bayar menggunakan kod QR.

"Sebelum ini saya tertanya-tanya juga macam mana nak buat kod QR, tetapi apabila PEDi membuat satu program bersama institusi perbankan, saya dapat mempelajarinya," katanya yang kini menikmati peningkatan pendapatan hasil bimbingan PEDi.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Kedah Mazlan Othman berkata pihaknya menggalakkan usahawan untuk berkunjung ke mana-mana 77 PEDi di negeri ini untuk mendapatkan latihan keusahawan bagi membantu perniagaan mereka.

Beliau berkata terdapat banyak latihan disediakan dan diajar oleh mereka yang berpengalaman yang boleh dimanfaat usahawan antaranya berkaitan pemasaran dan pengiklanan selain perniagaan dalam talian.

"Bermula daripada peringkat asas perniagaan secara dalam talian untuk memperkenalkan produk mereka dan memasarkan produk mereka sehingga peringkat advance yang mereka boleh melakukan pembungkusan ataupun membuat iklan yang sesuai dan kita juga membantu mereka membuat video-video produk mereka.

"Di setiap PEDi ada ikon usahawan, maksudnya usahawan yang dibimbing dan dididik sehingga mereka berjaya. Di setiap PEDi sekurang-kurangnya ada dua kisah kejayaan, mana-mana satu PEDi daripada 77 itu mereka boleh beritahu ikon mereka siapa dan mereka boleh ceritakan peningkatan jualan yang berlaku," katanya.

Selain itu, Mazlan berkata pihaknya kini dalam usaha menambah empat lagi PEDi di negeri ini bagi memastikan lebih ramai masyarakat boleh mendapat manfaat daripada program yang dijalankan di pusat itu.

PEDi diwujudkan di bawah seliaan SKMM dilengkapi dengan akses Internet, bimbingan dalam penggunaan teknologi digital, latihan keusahawanan dan latihan ICT untuk membantu usahawan setempat menggunakan platform digital dalam operasi perniagaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 7:01 AM