ANNUAR (kiri) dan Ismail Sabri merasmikan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia ( PEDi) Kampung Durian Tawar. FOTO Roselan Ab Malek
ANNUAR (kiri) dan Ismail Sabri merasmikan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia ( PEDi) Kampung Durian Tawar. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Bera: Penubuhan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dijangka mampu menyasarkan 800,000 usahawan kecil beralih kepada pendigitalan menjelang 2025.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, 1,083 PEDi di seluruh negara akan dipergiatkan untuk melahir dan memperkasa usahawan kecil di luar bandar dan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan bandar.

Katanya, ekonomi digital adalah instrumen untuk negara menuju ke arah usaha pemulihan dan menjamin ketahanan masa depan ekonomi Malaysia pasca Covid-19

"Sebagai sebuah pusat sehenti setiap PEDi akan dilengkapi akses, perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih dan pakar dalam teknologi.

"Tenaga pakar ini untuk memberi perkhidmatan dan sokongan serta program keusahawanan yang diperlukan oleh komuniti setempat supaya mesra terhadap ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran PEDi Kampung Durian Tawar hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Sri Mustapa Mohamad.

Beliau berkata, PEDi akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, peruntukkan sebanyak RM40,000 sehingga RM5,000 diperuntukkan kepada setiap PEDi menganjur kursus khas berkaitan sektor ekonomi yang berpotensi meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.

"Kerajaan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM30 juta sehingga RM40 juta melalui SKMM untuk disalurkan kepada PEDi yang menganjur program kursus selain program am anjuran kementerian.

"Pelbagai program keusahawanan diketengahkan bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan dalam talian melalui platform e-dagang, memahami kebolehpasaran produk, khidmat dalam strategi penjenamaan dan sebagainya, ' katanya.

Katanya, setiap PEDi akan mempunyai Panel Penasihat tersendiri yang dianggotai wakil komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan peniaga.

"Seramai 600 Rakan Digital akan dilantik untuk menjalankan program yang dianjurkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang disokong Ikon Usahawan PEDi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 2:24 PM