LAKARAN fotofit wajah suspek yang menyimbah asid ke atas Faisal yang didedahkan PDRM. FOTO Ihsan PDRM
LAKARAN fotofit wajah suspek yang menyimbah asid ke atas Faisal yang didedahkan PDRM. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan lapan kesan cap di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim, namun hanya tiga cap jari sahaja cukup sifatnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil lapan cap jari yang dianalisa itu, limanya tidak cukup sifat manakala tiga lagi cukup sifat.

Menurutnya, bagaimanapun semakan di dalam sistem pangkalan data mendapati tidak timbul padanan dengan cap jari cukup sifat itu.

"Hal ini mungkin kerana individu terbabit tidak pernah ditahan dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

"Polis sudah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Razarudin berkata, suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atay 0322666071 jika mempunyai maklumat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis sedang menganalisa cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat beli belah didapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.

Sebelum itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:06 PM