BANDAR Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BANDAR Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus komited dalam memperkasakan kesalinghubungan serta mengukuhkan ekosistem digital negara merentasi sektor industri dan rakyat Malaysia.

SKMM berkata, ia merangkumi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan 5G, inisiatif capaian Internet di Program Perumahan Rakyat (PPR), pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi), peruntukan Skim Geran Pendigitalan PKS dan usaha membanteras scam menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Menurutnya, inisiatif JENDELA dibangunkan untuk meningkatkan secara berterusan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan juga pihak berkepentingan.

"Menjelang hujung 2025, JENDELA beraspirasi untuk memperluaskan akses Gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis, 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan Internet dan mencapai purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 100Mbps.

"Sementara itu, JENDELA Fasa 2 (2023-2025) akan memberi tumpuan dalam penyediaan liputan Internet bagi baki tiga peratus kawasan berpenduduk, memperluaskan akses Gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilanjuta premis di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi tahun 2023, sejumlah RM725 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.

"Pelaksanaan 5G yang diawalkan pada penghujung 2021 sedang dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

"Usaha pembangunan rangkaian 5G ini sedang giat dijalankan di seluruh negara, dan melepasi sasaran awal iaitu 50 peratus liputan kawasan berpenduduk pada akhir tahun 2022," katanya.

Menurut SKMM,menjelang hujung tahun 2023, sasaran bagi liputan rangkaian 5G adalah 80 peratus kawasan berpenduduk.

"Dalam usaha menyediakan capaian Internet kepada kawasan komuniti, sebanyak 40,000 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) disasarkan akan mendapat kemudahan Internet pada tahun ini.

"PEDi yang tertumpu di kawasan luar bandar dan pedalaman menawarkan perkhidmatan capaian Internet, program latihan ICT dan bertindak sebagai pusat transformasi dan pemangkin ekonomi digital kepada usahawan menerusi bantuan pendigitalan dan fasiliti-fasiliti kepada komuniti setempat.

"Peniaga kecil akan diperkasakan dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang menerusi PEDi," katanya.

Tambahnya, segala usaha bagi memperkukuhkan ekosistem digital dalam negara memerlukan perancangan dan kerjasama padu dari semua pihak dan MCMC akan terus menyokong segala usaha dalam merealisasikan hasrat Kerajaan dalam memacu ekonomi digital negara.

"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, semua inisiatif ini dilaksanakan demi memastikan rakyat dan negara sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi semasa secara keseluruhan.

"Belanjawan 2023 yang bertemakan 'Membangun Malaysia MADANI', mencerminkan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 1:43 PM