Bahrin (kiri) menunjukkan rampasan dua buah lori disebuah stesyen minyak sekitar Segamat terlibat penyelewengan diesel bersubsidi Jumaat lalu.FOTO AHMAD ISMAIL
Bahrin (kiri) menunjukkan rampasan dua buah lori disebuah stesyen minyak sekitar Segamat terlibat penyelewengan diesel bersubsidi Jumaat lalu.FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail.


Segamat: Polis menahan tiga lelaki ketika sedang mengisi diesel bersubsidi dipercayai untuk tujuan penyelewengan di sebuah stesen minyak di sini, Jumaat lalu.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 60-an itu u dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat yang menjalankan pemantauan harian, pada 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, menyedari kehadiran anggota, mereka cuba melarikan diri, tetapi gagal.

"Hasil pemeriksaan mengesan dua tangki minyak diubah suai pada bahagian tepi lori bagi menyalurkan sebanyak 5,460 liter diesel.

"Kita percaya diesel yang diisi ke dalam tangki lori kemudian di pam ke tanker melalui saluran khas yang diubahsuai khusus bagi tujuan menyeleweng diesel subsidi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi Superintendan Ng Swie Chait.

Bahrin berkata, pihaknya kemudian merampas lori jenis Mitsubishi biru putih dan Hino King putih itu dianggarkan bernilai RM 110,000, selain stok diesel bernilai RM16,380 dan nilaian rampasan keseluruhan RM126,380.

"Kita masih melakukan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat tidak dilesenkan.

"Sindiket seperti ini dipercayai membeli diesel pada harga subsidi lebih murah berbanding harga jualan untuk industri dan mampu meraih untung apabila menjual terus kepada pihak industri sekitar Segamat.

"Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Segamat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 6:51 PM