Ahmad Ismail

Segamat: Pasukan 'Task Force' Kontraban Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat merampas 61,000 liter minyak diesel bernilai RM130,350.00 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di sebuah gudang di Kampung Logah, Segamat dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata sepasukan pegawai dan anggota menyerbu sebuah lokasi gudang kosong tepi jalan di Kampung Logah, Segamat, pada jam 5.30 petang.

Katanya, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat risikan berlaku aktiviti penyelewengan barangan kawalan bersubsidi.

"Ketika serbuan, pasukan operasi mendapati terdapat tiga suspek dalam keadaan mencurigakan sedang menjalankan kerja pemindahan minyak dipercayai diesel daripada tiga tangki kecil ke sebuah motolori menggunakan hos penyambung, mesin penyedut dan lima buah kompresor.

"Pemeriksaan lanjut ke atas motolori tangki mendapati terdapat kira-kira 32,000 liter cecair yang dipercayai minyak diesel manakala tiga tangki kecil mengandungi kira-kira 29,000 liter minyak diesel," katanya dalam satu kenyataan di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Ahmad Zamry Marinsah (hadapan) menunjukkan motorlori yang disi muatan diesel bersubsidi untuk diselewengkan. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Zamry Marinsah (hadapan) menunjukkan motorlori yang disi muatan diesel bersubsidi untuk diselewengkan. FOTO AHMAD ISMAIL

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek tidak memiliki lesen sah atau dokumen kebenaran untuk urusan barangan kawalan berjadual.

Menurutnya, kesemua minyak berkenaan berjumlah 61,000 liter bernilai RM130,350 dirampas bagi tujuan siasatan.

"Turut disita sebuah motolori tangki serta peralatan lain yang digunakan di tempat serbuan dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM270,350.00," katanya di lokasi serbuan di Kampung Jawa Segamat.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Asisten Superintendan Dr. Karthiggaibalan Kisenasamy dan Pegawai Serbuan (RO) Inspektor Majid Tasimin.

Ahmad Zamry berkata, tiga lelaki rakyat tempatan dari Negeri Sembilan dan Melaka yang berusia 25 hingga 31 tahun turut ditahan bagi siasatan lanjut.

Katanya, sindiket berkenaan turut dipercayai sedang merancang membawa diesel subsidi berkenaan ke Pelabuhan Klang untuk di eksport keluar negara.

"Semua suspek yang ditahan berperanan sebagai pemandu lori dan pekerja am.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kes ini juga sudah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 5:29 PM