Berselindung di sebalik isian minyak diesel di stesen minyak menggunakan lori tangki air, itu taktik sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang diserbu KPDN di Taman Pengkalan Pertama. FOTO IHSAN KPDN PERAK
Berselindung di sebalik isian minyak diesel di stesen minyak menggunakan lori tangki air, itu taktik sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang diserbu KPDN di Taman Pengkalan Pertama. FOTO IHSAN KPDN PERAK
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Taktik sindiket menggunakan lori tangki air untuk menyeleweng diesel subsidi terbongkar apabila sebuah premis penyelenggaran bahan binaan yang dijadikan stor penyimpanan di Taman Pengkalan Pertama, di sini, diserbu, semalam.

Serbuan dilakukan pada 1 tengah hari hasil maklumat awam dan risikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak itu turut menemui 2,400 liter diesel di premis yang dijadikan stor penyimpanan terbabit.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 33 tahun disyaki penjaga premis itu untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, turut ditemui di premis itu adalah sebuah pam penyedut minyak dan sebuah lori yang digunakan untuk membeli diesel.

"Modus operandi sindiket itu adalah membeli diesel pada harga subsidi menggunakan lori tangki air secara berulang sekitar lapan hingga 10 kali dengan anggaran 2,000 liter sehari di beberapa stesen minyak sekitar Ipoh.

"Mereka cuba mengaburi pihak berkuasa menggunakan lori tangki air sebelum memindahkan diesel ke tangki simpanan dan dikumpulkan di kawasan stor terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua barangan terbabit iaitu diesel, lori dan pam penyedut minyak disita dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM87,960.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 12:21 PM