Lori tangki yang dirampas dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Marang. FOTO IHSAN KPDNHEP
Lori tangki yang dirampas dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Marang. FOTO IHSAN KPDNHEP
Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas sebanyak 16,380 liter diesel dan sebuah lori tangki membabitkan rampasan bernilai RM83,217.

Selain merampas diesel dan lori, seorang lelaki yang juga pemandu lori berusia 30-an itu turut ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Wakaf Tapai di sini, pada 9.30 malam tadi.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan pihaknya hasil maklumat berlakunya kegiatan pemindahan minyak diesel yang mencurigakan dari pam stesen minyak ke ruang simpanan lori tangki tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Beliau berkata, pegawai risikan bertindak mengekori lori tangki berkenaan dari sebuah stesen minyak ke stesen minyak yang lain sebelum serbuan dilakukan.

"Ketika serbuan dilakukan, lelaki berkenaan sedang leka mengisi diesel berkenaan di dalam tangki simpanan lori di stesen minyak terbabit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sambungan paip yang diubah suai dipercayai untuk menyalurkan diesel yang diisi daripada tangki asal ke ruang simpanan lori.

"Dianggarkan terdapat sebanyak 16,380 liter diesel berada di ruang simpanan lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, modus operandi kegiatan berkenaan adalah membeli minyak diesel di beberapa buah stesen minyak bagi memenuhkan tangki simpanan lori tangki berkenaan.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi itu.

"Siasatan turut dijalankan terhadap stesen-stesen minyak yang terbabit sama ada turut bersubahat dengan kegiatan ini.

"Pemandu lori tangki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi pesalah indvidu, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 2 juta, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 3:43 PM