Mohd Kamarudin (tengah) melihat motosikal peserta ketika majlis pelepasan program Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Awie Ride) fasa 2 ke Pantai Timur di Route 77, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Kamarudin (tengah) melihat motosikal peserta ketika majlis pelepasan program Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Awie Ride) fasa 2 ke Pantai Timur di Route 77, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amir Abd Hamid


Ampang: Walaupun sedar ada kemungkinan tindak balas 'kasar' daripada sindiket scammer namun selebriti tanah air yang juga vokalis Kumpulan Wings, Datuk Awie tidak gentar untuk meneruskan kempen anti scammer di seluruh negara.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman yang pernah menerima ugutan peluru dicampak di rumahnya sewaktu kempen anti cetak rompak sebelum ini menjelaskan, kempennya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini mungkin mencetuskan reaksi sama sindiket penipuan atau scammer.

"Dahulu saya pernah berlawan dengan sindiket cetak rompak. Saya ride satu Malaysia berseorangan, kempen setiap negeri, setiap daerah saya masuk berkempen.

"Pada masa itu di rumah saya pihak sindiket cetak rompak campak peluru (sebagai ugutan). Untuk inisiatif ride kempen anti sindiket scammer ini, kita duk pung pang berjuang, nasib kami selepas ini apa yang akan berlaku (mungkin) antara sindiket attack (serang) kami tepi jalan ke atau rumah kami kena," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan Kempen Anti Scam - PDRM 2022 (Awie Ride) di Route 77, Harley Davidson, Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Pelancaran Awie Ride fasa kedua ke negeri pantai timur itu disempurnakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat dan pelawak, Saiful Apek.

Awie meminta masyarakat di negara ini mendoakan kejayaan kempen anti scammer yang objektifnya sebagai usaha murni menyedarkan orang ramai mengenai tipu daya scammer sekali gus mengelakkan daripada terpedaya tipu muslihat scammer.

"Anda (media) juga perlu mainkan peranan penting sebab mempunyai kuasa menulis. Tulislah bagi orang awam faham terutama orang kampung pakcik makcik menyimpan duit hasil kerja puluhan tahun yang akhirnya terpedaya beri kepada scammer, kena tipu.

"Anggaplah pakcik makcik ini umpama ibu bapa kita. Baru kita rasa sakitnya itu," katanya.

Ditanya adakah mahu membuat konsert berdasarkan sambutan luar biasa kempen konvoi anti scammer itu, beliau tidak menolak kemungkinan berkenaan.

"Mungkin (buat konsert), tetapi apa pun saya selesaikan dahulu kempen ini sehingga Sabah dan Sarawak. Jika ada tajaan nak masuk kempen di Sabah dan Sarawak, kita akan pergi," katanya.

Menurutnya, fasa pertama kempen di negeri kawasan utara, rata-rata orang ramai menunggu dan mendengar taklimat diberikan.

Beliau berkata, diharapkan maklumat serta ilmu berkaitan mengelak menjadi mangsa scammer itu dapat sampai di hati serta dapat disampaikan kepada orang lain.

"Selepas habis fasa dua di timur, kita akan gerak pula ke kawasan selatan. Hari ini kita disertai 36 motosikal berkuasa tinggi termasuk rider daripada polis yang mengiringi kami dan juga rider daripada Wings Motor Gang Society," katanya.

Berdasarkan statistik direkodkan JSJK Bukit Aman, sebanyak 71,389 kes jenayah komersil disiasat pada 2020 sehingga Jun tahun ini dengan membabitkan kerugian berjumlah RM5.2 bilion.

Daripada jumlah itu pula, 47,850 kes yang dicatatkan adalah jenayah berkaitan penipuan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 10:23 AM