Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Hantar mesej ke Telegram kononnya gambar disalah guna 'scammer' dan dikongsi dalam kumpulan penipuan.

Itu taktik terbaru bagi memperdayakan mangsa untuk menekan pautan sebelum wang mangsa 'disedut'.

Jika mangsa panik kerana bimbang gambar mereka dipergunakan kemungkinan untuk ditipu tinggi apabila mengikut arahan menekan pautan diberi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penjenayah sentiasa mencari taktik baru bagi mencari mangsa untuk diperdaya.

Menurutnya, orang ramai yang menerima mesej itu dinasihatkan tidak panik dengan helah penjenayah kononnya gambar digunakan untuk tujuan tidak baik.

"Ini semua satu bentuk scam dan jangan tekan pautan diberikan itu.

"Nasihat saya jangan terpengaruh kerana ia akan menjadi masalah jika mereka mula menekan pautan diberikan itu kerana mempercayai konon gambar mereka digunakan," katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, setakat ini JSJK belum menerima laporan polis membabitkan mangsa yang kerugian namun mereka tetap perlu berhati-hati dengan pelbagai taktik scammer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:51 PM