KAMARUL Zaman (depan, tiga kiri) bersama anggota polis pada Mesyuarat Bulanan IPK Johor. FOTO Mary Victoria Dass
KAMARUL Zaman (depan, tiga kiri) bersama anggota polis pada Mesyuarat Bulanan IPK Johor. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat turut cuba diperdaya oleh 'scammer' yang menyamar sebagai pihak berkuasa baru-baru ini.

Beliau berkata, sindiket berkenaan bukan saja mengetahui nombor telefonnya malah juga alamatnya.

Menurutnya, ketika menerima panggilan daripada scammer, taliannya kononnya disambungkan kepada 'pegawai penyiasat.'

"Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat kepada individu lain ketika menerima panggilan seumpama itu.

"Dalam suatu kes membabitkan penipuan scammer ratusan ribu, tindakan anak mangsa berkongsi maklumat berkaitan bapanya apabila menerima panggilan memudahkan scammer memperdaya mangsa (bapa)," katanya.

Kamarul Zaman berkata, malah pihaknya juga mendapati kes membabitkan syarikat ditipu oleh scammer yang menyamar sebagai syarikat penjual barangan juga berulang kebelakangan ini.

Beliau berkata, scammer menghantar e-mel kepada syarikat tertentu dengan meminta supaya bayaran dibuat ke akaun bank berbeza.

"Apabila menerima e-mel seumpama ini, syarikat seharusnya mendapatkan kepastian sebelum membuat pemindahan wang atau sebagainya.

"Kes seumpama ini dilaporkan mengakibatkan kerugian berjuta ringgit," katanya di sidang media di Mesyuarat Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, 3,185 kes dilaporkan dari Januari hingga September 2023 berbanding 2,403 kes bagi tempoh sama, tahun lalu, dan penipuan dalam talian merupakan penyumbang terbesar iaitu 82.1 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 12:18 PM