Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: Kurangnya kesedaran dan maklumat menyebabkan masih ramai individu di Perak menjadi mangsa penipuan membabitkan 'scammer' dan pelbagai penipuan dalam talian hingga kerugian ribuan ringgit.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 2,021 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian hampir RM70 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang termasuk pesara dan golongan profesional yang kebanyakannya tidak mempunyai maklumat modus operandi kegiatan itu.

"Dalam kejadian pada dua hari lalu, seorang mangsa kerugian RM174,000 selepas menerima panggilan daripada syarikat insurans yang mendakwa kononnya dia ada buat tuntutan palsu.

"Jenayah dalam talian paling popular, ramai yang tertipu. Ada yang tertipu membeli barang dalam talian, mereka yang terpedaya akibat takut dan menyerahkan wang kepada individu menyamar sebagai pihak berkuasa.

"Ada juga yang berkenalan di media sosial hingga terpedaya menyerahkan wang dan menyamar sebagai rakan menggunakan profil (gambar di media sosial atau aplikasi telefon bimbit) meminta pinjaman wang. Ia berlaku kerana mangsa tiada maklumat berkaitan kegiatan penipuan ini," katanya.

Mior Faridalathrash (tengah) menyerahkan maklumat kesedaran Scammer kepada Dr Zambry (dua dari kiri) pada program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Mior Faridalathrash (tengah) menyerahkan maklumat kesedaran Scammer kepada Dr Zambry (dua dari kiri) pada program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI

Beliau berkata demikian ketika program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor di sini, hari ini.

Kayuhan santai sejauh 12 kilometer membabitkan 100 peserta yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan persatuan berbasikal.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung Datuk Shaharudin Nazari dan Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya memperhebatkan usaha mengekang jenayah dalam talian selain membanteras kegiatan dadah yang menjadi fokus utama pihaknya tahun ini.

Katanya, program seumpama itu akan dilakukan lebih kerap bagi mendekati masyarakat untuk memberi kesedaran dan maklumat berkaitan supaya tiada lagi menjadi mangsa penipuan.

"Kebanyakan mangsa mengambil sikap mudah untuk tidak buat laporan polis kerana kerugian yang dialami sedikit contohnya RM50 sedangkan sindiket terbabit masih berleluasa.

"Apa juga amaun kerugian, datang ke balai untuk buat laporan supaya pihak polis akan terus mengesan dan mengambil tindakan sindiket ini dari terus memperdaya masyarakat, selain orang awam juga dinasihatkan tidak mendedahkan maklumat perbankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 4:55 PM