Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kerugian akibat kes penipuan termasuk Macau Scam dan pinjaman wang tidak wujud yang dilaporkan di negeri ini meningkat ke RM18 juta tahun ini berbanding RM9 juta tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia susulan peningkatan kes yang amat membimbangkan terutama ketika masyarakat berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, penipuan itu membabitkan pelbagai kes termasuk Macau Scam, pinjaman wang tidak wujud, Love Scam dan sebagainya.

"Kuala Muda mencatatkan kes penipuan tertinggi iaitu sebanyak 323 kes diikuti Kota Setar 251 kes dan Kulim 181 kes.

"Peningkatan kes sehingga 66 peratus dan mangsa terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan kaum dan serta jenis pekerjaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sindiket penipuan turut menggunakan teknik "spoofing" ketika membuat panggilan untuk meyakinkan mangsa bahawa panggilan itu datang dari agensi kerajaan yang dinyatakan sindiket terbabit.

Katanya, apabila mangsa menghubungi semula nombor panggilan berkenaan, secara automatik ia akan disambungkan ke pejabat agensi kerajaan berkenaan menyebabkan mangsa percaya.

"Antara modus operandi yang sering digunakan mereka adalah dengan memaklumkan mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram, dadah, kes mahkamah yang menggunakan nama mangsa dengan jumlah saman yang tertunggak.

"Mangsa yang mempercayai kata-kata manis sindiket itu kemudian bersetuju membuat transaksi ke akaun yang diberikan suspek tanpa membuat semakan terlebih dahulu tanpa menyedari ditipu," katanya.

Kamarul Zaman berkata, sindiket itu juga kini semakin berani malah sanggup menyamar sebagai pegawai kanan polis termasuk ketua polis negeri untuk memperdaya mangsa bagi meyakinkan mereka untuk membuat bayaran.

Katanya, yang terbaru awal bulan ini, ada pihak yang sanggup menyamar sebagai Ketua Polis Kedah dengan nama lain menyebabkan mangsa iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun kerugian RM140,900.

"Amat mustahil pegawai kanan polis terutama ketua polis menghubungi terus mangsa untuk memaklumkan pembabitan mangsa dalam sebarang kes kerana biasanya kita akan menggunakan kaedah secara rasmi melalui surat atau sebagainya.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket ini dan buat semakan terlebih dahulu di mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menerima panggilan mencurigakan yang meminta wang.

"Ketika pandemik Covid-19 ini, ramai yang terkesan dan memerlukan wang sehingga sanggup membuat pinjaman tetapi jangan sewenang-wenangnya menyerahkan dokumen pengenalan diri bagi mengelak ditipu pinjaman tidak wujud," katanya.

Kamarul Zaman berkata, untuk penipuan Love Scam biasanya akan berpura-pura bercinta dengan mangsa sebelum memberitahu akan menghantar barangan istimewa dari luar negara kepada mangsa.

Namun katanya, mangsa perlu membayar duti kastam untuk memudahkan barangan itu dibawa masuk ke negara ini.

Kamarul Zaman berkata, sepanjang tempoh tahun ini, lebih 300 individu berusia 20-an hingga 30-an ditahan kerana terbabit dalam kegiatan penipuan di negeri dan sedang diambil tindakan.

Katanya, kebanyakan daripada mereka adalah pemilik akaun bank yang disewa untuk memudahkan sebarang urusan bayaran transaksi dilakukan oleh mangsa.

"Kesemua kes penipuan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman berkata, orang ramai juga boleh membuat semakan terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Check Scammers CCID di aplikasi Playstore bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 12:21 PM