Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Permintaan terhadap lembu bersaiz besar untuk ibadat korban di negeri ini cukup besar dan hanya segelintir saja yang membeli lembu bersaiz kecil serta sederhana.

Penternak, Mohammad Rezuwan Mazlan, 40, berkata, sehingga kini, lebih 400 lembu ternakannya terjual untuk ibadat korban.

"Saya mempunyai dua kandang lembu dan kambing di Lorong Kulit serta Relau. Ramai warga Pulau Pinang yang datang mahu membeli lembu bersaiz besar dan tidak 'berkira' dengan harganya.

"Lembu bersaiz besar ini saya jual pada harga RM4,800 hingga RM20,000, mengikut jenis," katanya ditemui di sini, hari ini.

Mohammad Rezuwan berkata, dia dibantu tiga pekerja bagi menjaga lembu baka Brahman dan Kedah Kelantan selain kambing jenis boer serta jamnapari.

Bukan sahaja Pulau Pinang, Mohammad Rezuwan turut melakukan penghantaran haiwan korban kepada pelanggan di Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.

"Kesemua lembu dan kambing ini diberi makanan palet yang dibeli di kilang pada harga RM45 seguni.

"Memang harga makanannya agak mahal tetapi haiwan juga perlukan makanan yang baik bagi tumbesaran sebelum dijual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 12:44 PM