ANTARA lembu di Tayyib Ranch. FOTO FACEBOOK Tayyib Ranch
ANTARA lembu di Tayyib Ranch. FOTO FACEBOOK Tayyib Ranch
BERNAMA

Kuala Lumpur: 'Abu' nama manja lembu jantan baka 'Brahman' seberat lebih 1 tan berjaya mencuri tumpuan di karnival Qurban berikutan fizikalnya yang besar dan berat menyamai enam ekor lembu saiz biasa.

Jurucakap Tayyib Ranch Sdn Bhd Mohd Sakhedan Sidek berkata, 'Abu' dijual pada harga RM30,000 kepada seorang pembeli di Ampang, di sini, untuk dikorbankan sempena Aidiladha pada Isnin depan.

Beliau berkata, pengunjung bukan sahaja boleh melihat lembu gergasi di karnival itu yang diadakan di Dengkil berdekatan dengan Kampung Orang Asli, Bukit Dugang dekat sini, malah mereka boleh memberi makanan kepada lembu berkenaan.

"Ia akan menjadi satu peluang terbaik untuk kanak-kanak yang semestinya akan terpegun dengan lembu sado yang jarang dijumpai," katanya semalam.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 250 ekor lembu sado pelbagai baka antaranya Angus, Charolais, Limousin, Piedmontese dan Brahman terjual sejak karnival itu bermula Selasa lalu hingga Isnin depan.

"Baka lembu jenis Brahman mendapat permintaan tinggi untuk ibadah korban kali ini. Lembu sado masih menjadi pilihan sebahagian umat Islam kerana saiznya besar serta rasa dagingnya lebih enak, lembut dan berperisa apabila dimasak, berbanding lembu tempatan saiz biasa," katanya.

Mohd Sakhedan berkata pihaknya menjual lembu-lembu sado dengan harga antara RM12,000 hingga RM30,000 seekor bergantung kepada saiz.

"Lembu-lembu kami diternak di persekitaran ideal dan diberi makan pelet, soya pelet, jagung, white polard dan rumput gajah (napier) untuk menghasilkan daging berkualiti tinggi," katanya.

Selain itu, beliau berkata seekor lembu jantan baka Charolais seberat 1,174 kilogram yang harga bermula RM30,000 hingga RM35,000 turut dipamer di karnival berkenaan.

"Lembu ini masih belum dibeli oleh sesiapa setakat ini," katanya sambil menambah pihak syarikatnya juga menyumbang daging lembu kepada surau dan masjid berdekatan untuk diagihkan kepada umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 12:41 PM