MOHD Afiq membelai lembunya yang dianggarkan seberat satu tan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Afiq membelai lembunya yang dianggarkan seberat satu tan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Dungun: "Orang tawar dengan harga paling tinggi sekalipun saya tetap tidak akan jual Debull," kata Afiq.

Mohd Afiq Abd Rahim, 31, dari Kampung Baru Kuala Abang pemilik lembu baka charolais audor yang dianggarkan seberat 1,000 kilogram.

Katanya, dia menjaga lembu charolais jantan berusia tiga tahun dan dipanggil Debull itu sejak lembu itu berusia empat bulan.

"Debull ialah lembu baka pertama yang saya beli dan ternak kerana sebelum ini menternak kambing baka jamnapari.

"Saya sanggup menjual 30 ekor kambing jamnapari yang diternak semata-mata untuk membeli lembu baka yang berkualiti.

"Lembu kesayangan itu dibeli di Bachok, Kelantan dengan harga RM4,200 seekor dan kini saya mempunyai lebih 10 lembu baka charolais dan limosin," katanya.

Tambahnya, lembu bakanya itu pernah ditawarkan dengan harga RM18,000, Disember tahun lalu.

"Tak kisah berapa harga yang ditawarkan kerana saya tidak bercadang untuk menjualnya kerana saya masih belum puas menjaganya.

"Mungkin Debull akan disembelih sendiri atau dijual sebagai ternakan korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini," katanya.

Menurutnya, dia bercadang untuk mempertandingkan lembu baka itu pada pertandingan lembu sado yang bakal dianjurkan pada tahun ini.

"Memandangkan saiznya yang agak besar, ia memang sesuai dipertandingkan ke pertanding lembu sado," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 12:12 PM