BERNAMA

Pasir Mas: Polis menahan tiga pekerja ladang warga Bangladesh susulan penemuan satu anak pokok ganja setinggi 40 sentimeter (cm) yang ditanam dalam polibeg di luar rumah kongsi di Lojing, Gua Musang, dekat sini, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 23, 24 dan 34 tahun yang menghuni sebuah rumah kongsi ladang sayur-sayuran di Lojing, ditahan sepasukan anggota polis yang menjalankan Op Tapis.

"Selain penemuan anak pokok ganja itu, hasil siasatan di dalam rumah, polis menemukan 5.3 gram daun kering disyaki ganja disembunyikan dalam lipatan kertas surat khabar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022 di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki warga Bangladesh yang juga positif dadah itu kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

MUHAMAD Zaki (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat di Lapang Sasar Bukit Pak Junoh, di sini, hari ini. FOTO
MUHAMAD Zaki (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat di Lapang Sasar Bukit Pak Junoh, di sini, hari ini. FOTO

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata polis berjaya merampas dua tan daun ketum selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun semasa sekatan jalan raya di Jalan Gerik-Jeli pada 5.52 pagi semalam.

"Pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan bungkusan plastik hitam berisi gulungan plastik cerah berisi daun ketum. Jumlah keseluruhan daun ketum yang ditemukan adalah sebanyak 2.030 kilogram (kg) bernilai RM60,000. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui destinasi daun ketum itu akan dihantar," katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 6:08 PM