Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis menasihatkan majikan di negeri ini supaya tidak menggaji pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit sah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kegagalan majikan atau pengurus syarikat mematuhi peraturan terbabit menyebabkan mereka bakal ditangkap sekiranya dikesan berbuat demikian.

Katanya, kebanyakan pekerja asing dikatakan tidak mempunyai permit terutama mereka yang bekerja di kebun di Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Lojing.

"Sekarang ini kita menghadapi kemasukan warga asing ke Kelantan terutama melalui sempadan. Ramai di kalangan mereka kebanyakannya bekerja di ladang atau kebun.

"Perkara ini hanya terbongkar apabila pihak polis menerima laporan berlaku pergaduhan atau kematian. Sebaik pemeriksaan di lapangan, kita mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Malah, semalam kita menahan dua individu iaitu pemilik dan pengurus ladang di Gua Musang berusia 30-an yang dikesan menggaji pekerja warga asing tanpa permit. Perkara itu terbongkar selepas kematian pekerja Myanmar tanpa permit, Jumaat lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) ketika sidang media rampasan pil kuda di tiga lokasi di daerah Tumpat dan Kota Bharu di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamad Zaki (dua dari kiri) ketika sidang media rampasan pil kuda di tiga lokasi di daerah Tumpat dan Kota Bharu di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Muhamad Zaki berkata, majikan atau pengurus yang menggaji warga asing tanpa permit dianggap melakukan kesalahan serius yang boleh dihukum denda dan penjara.

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan ketua polis daerah supaya menekankan perkara ini dan untuk kawasan Lojing, saya berbincang dengan ketua polis daerah Gua Musang dan Cameron Highlands bagi membanteras isu terbabit.

"Kita tidak mahu kebanjiran warga asing semakin berleluasa sekiranya tindakan drastik tidak diambil. Justeru, kita memberi peringatan kepada majikan dan pengurus supaya menitikberatkan isu terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 2:24 PM