Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan merampas 900,000 batang rokok putih bernilai keseluruhan RM1.64 juta pada operasi di Kampung Pasir Pekan Tengah, Wakaf Bharu dekat sini, jam 3.30 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, terdahulu, anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan, Pahang terserempak dengan dua kereta yang dipandu laju menuju ke Kampung Pasir Pekan Tengah.

Katanya, anggota berkenaan kemudiannya masuk ke kawasan kampung berkenaan dan cuba mengesan kenderaan terbabit.

"Ketika melakukan pencarian di kawasan tebing sungai, kami mendapati sebuah Perodua Kenari tanpa nombor pendaftaran ditinggalkan dalam keadaan enjin dimatikan dan pintu sebelah pemandu terbuka.

"Pemeriksaan di dalam kereta dan kawasan sekitar menemui rokok dipercayai rokok seludup," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Tiada tangkapan dibuat kerana pemandu kereta terbabit dipercayai melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

MUHAMAD Zaki bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, dalam kes berasingan, Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya turut merampas 2.2 tan daun ketum bernilai RM22,000 pada Op Tapis di sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli, jam 10 pagi semalam.

"Pemeriksaan di belakang lori yang ditutupi dengan kanvas menemui bungkusan berisi daun ketum. Untuk mengaburi kami, bahagian belakang kenderaan terbabit turut disusun dengan kotak gandum.

"Pemandu lori yang juga lelaki berusia 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Daun ketum terbabit dibawa dari Baling, Kedah dan ia dipercayai untuk pasaran negeri ini," katanya.

Kata beliau, suspek didapati negatif dadah hasil ujian air kencing dijalankan selain tiada rekod jenayah lampau.

"Suspek mengaku sudah dua kali membawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan dan menerima upah RM1,000 untuk setiap penghantaran.

"Kami sedang mengesan seorang lelaki yang dikatakan akan menerima daun ketum ini di lokasi yang ditentukan di Machang. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 12:59 PM