Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Polis Kelantan menubuhkan Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) wanita pertama di negeri itu sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pasukan yang dianggotai seramai 105 ahli itu terdiri daripada 10 pegawai dan 95 anggota polis wanita daripada pelbagai daerah.

Menurutnya, setiap anggota menjalani latihan secara berkala daripada semasa ke semasa untuk memantapkan lagi pasukan bukan sahaja bagi persediaan PRU-15 tetapi juga menjaga keamanan dan ketenteraman awam sepanjang masa.

"Umum mengetahui, setiap kali musim PRU akan diadakan sesi berkempen dan juga ceramah, justeru LSF digerakkan untuk memastikan tidak berlaku sebarang rusuhan, demonstrasi atau mogok.

"Selain itu, penubuhan unit terbabit membuktikan bahawa tiada perbezaan antara anggota wanita dan lelaki daripada segi ketangkasan atau kebolehan untuk mengawal sesuatu keadaan di luar jangka.

"Pasukan LSF memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan setempat yang mana menjadi unit pertama dipanggil jika berlaku rusuhan sebelum diambil Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) atau Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU)," katanya.

MUHAMAD Zaki (dua kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang anggota Unit Tempur Ringan (LSF) wanita ketika Majlis Penutup Kursus LSF (Wanita) peringkat Kontinjen Kelantan di perkarangan padang kawad Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Pengkalan Chepa. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMAD Zaki (dua kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang anggota Unit Tempur Ringan (LSF) wanita ketika Majlis Penutup Kursus LSF (Wanita) peringkat Kontinjen Kelantan di perkarangan padang kawad Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Pengkalan Chepa. FOTO Syaherah Mustafa

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Penutup Kursus LSF (Wanita) peringkat Kontinjen Kelantan di pekarangan padang kawad Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, pasukan LSF wanita di Kelantan itu akan ditambah lagi dengan siri kedua yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini sekali gus menambahkan lagi anggota bagi memantapkan pasukan berkenaan.

"Pasukan LSF turut disediakan dengan senjata atau kelengkapan seperti bom asap, perisai, cota dan gas pemedih mata. Begitu juga dengan kemudahan jentera bagi melancarkan tugasan anggota ketika menghadapi sebarang kemungkinan.

"Demonstrasi atau rusuhan adalah di luar jangka kerana turut membabitkan bukan sahaja golongan wanita malah kanak-kanak, jadi dengan adanya pasukan ini dapat mengelakkan timbul sebarang persepsi sepanjang kawalan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 1:37 PM