PELBAGAI acara menarik diatur untuk mengisi sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022.
PELBAGAI acara menarik diatur untuk mengisi sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menyasarkan lebih 200,000 pengunjung pada sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022 yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula hari ini hingga 25 Jun.

Sambutan HMA itu disifatkan cukup bermakna kerana selepas dua tahun diadakan secara dalam talian, ia boleh diraikan penuh meriah di lapangan dengan pelbagai acara menarik.

Bukan itu saja, sambutan HMA yang juga penganjuran kali ke-26 di peringkat kebangsaan mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya Kelantan dipilih sebagai tuan rumah.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata, HMA dirai oleh muzium-muzium seluruh dunia pada 18 Mei setiap tahun sejak 1977 membabitkan lebih 37,000 muzium dari 158 negara.

Menurutnya, perayaan tahunan itu memberi pengertian besar kepada dunia permuziuman sejagat dalam usaha menarik perhatian umum terhadap program dan aktiviti muzium.

"Di Malaysia, penganjuran HMA di peringkat kebangsaan bermula sejak 1997 dan tahun ini adalah sambutan kali ke-26.

"Menariknya, bagi pemilihan tuan rumah, kita masih meneruskan tradisi sambutan secara penggiliran dalam kalangan muzium di Malaysia yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia.

"Ia sekali gus membuktikan kesatuan dan kerjasama yang sangat utuh antara muzium-muzium yang terbabit khususnya dalam usaha mengangkat dan memartabatkan institusi permuziuman sebagai institusi penting yang menyumbang kepada pembangunan sosial khususnya terhadap pembinaan jati diri bangsa dan negara," katanya.

Selain itu, HMA peringkat kebangsaan kali ini juga diadakan bagi membangkitkan kesedaran dalam masyarakat pentingnya peranan muzium dalam kehidupan dan pembangunan sosio-budaya bangsa serta sebagai tanda penghargaan kepada kerajaan terhadap sumbangan serta peranan yang dimainkan oleh muzium khususnya dalam pemeliharaan khazanah negara.

Kamarul Baharin berkata, objektif lain penganjuran program ini adalah memberi peluang dan kesempatan kepada orang ramai mengunjungi dan mengenali muzium dengan lebih dekat dengan menyertai pelbagai aktiviti muzium yang ditawarkan.

"Kita juga mahu menarik minat masyarakat untuk bersama-sama melindungi warisan dan budaya bangsa yang menjadi identiti negara.

"Sambutan HMA ini juga untuk memberi pendedahan kepada penggiat muzium untuk lebih terbuka, proaktif dan inovatif bagi memastikan institusi muzium sentiasa peka dengan keperluan dan citarasa masyarakat serta mencapai standard antarabangsa.

"Mewujudkan kolaborasi dan jaringan kerjasama yang erat dalam kalangan muzium di seluruh negara serta meluaskan kerjasama antarabangsa di antara muzium di Malaysia dan luar negara," katanya.

Bertemakan Keunggulan Muzium (The Power of Museums), ia mencerminkan bagaimana muzium sebenarnya memiliki kuasa dan pengaruh yang besar untuk menarik masyarakat bersama-sama mengubah dunia ke arah yang lebih baik.

KAMARUL Baharin
KAMARUL Baharin

Kamarul Baharin berkata, dalam konteks itu, muzium sebagai institusi yang menghubungkan masa lalu dan masa kini, memiliki kelebihan tersendiri dalam mencetus idea baharu yang holistik dalam merancang kehidupan lebih baik pada masa hadapan.

"Kuasa atau keupayaan muzium membawa perubahan positif dalam kalangan masyarakatnya boleh diterokai menerusi tiga aspek iaitu kuasa muzium untuk mencapai kelestarian atau sustainability dan mengadaptasi pendigitalan serta aksesibiliti.

"Aspek ketiga adalah kuasa muzium dalam membentuk dan membangunkan masyarakat yang berbudaya tinggi sama ada menerusi koleksi atau program pendidikan muzium.

"Menerusi tema yang diperkenalkan ini, muzium akan terus memperkukuh fungsi dan peranannya khususnya dalam melestari koleksi khazanah negara, menerokai lebih banyak idea baharu ke arah memperkasa pendigitalan dan aksesibiliti serta mempelbagaikan program dan aktiviti permuziuman ke arah pembentukan masyarakat yang sejahtera dan harmoni," katanya.

Penganjuran HMA peringkat kebangsaan ini adalah salah satu strategi untuk mendekati masyarakat dan memberi peluang kepada mereka untuk mengenali muzium secara lebih dekat.

Justeru, selama tujuh hari ini, pelbagai aktiviti disediakan dengan membabitkan penyertaan bersama warga muzium dan orang ramai.

Kamarul Baharin berkata, uniknya sambutan HMA di Kelantan ini, selain pameran HMA oleh 26 muzium dari pelbagai agensi dan negeri, pihaknya juga bekerjasama dengan kerajaan negeri menerusi Pesta Makanan Kelantan.

"Selain itu, HMA kali ini juga cukup istimewa dengan penganjuran Program Muzium Bersama Komuniti – Train to Dabong pada 22 Jun.

ANTARA aktiviti yang dianjurkan sempena Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022.
ANTARA aktiviti yang dianjurkan sempena Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022.

"Menerusi program ini, warga muzium akan menaiki keretapi ke Dabong dan beramah mesra dengan masyarakat di sana.

"Program ini dilaksanakan untuk mendekati dan melihat keistimewaan dalam kehidupan masyarakat yang bersesuaian dengan objektif sambutan iaitu mahu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan muzium," katanya.

Selain itu, acara menarik lain yang menanti pengunjung termasuk Seminar HMA, Forum Perdana Ehwal Islam yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada 23 Jun, treasure hunt: jejak warisan, fun ride, karnival sukan tradisional, bengkel pertandingan wau, pertandingan silat jatuh, Pertandingan Buskers Kelantan 2022, persembahan kebudayaan, wayang kulit dan dikir barat.

Sambutan HMA ini juga diadakan secara hibrid, sekali gus membolehkan masyarakat yang dari seluruh negara yang tidak berkesempatan hadir boleh turut serta dalam acara yang dijalankan secara dalam talian.

Untuk maklumat lanjut layari Facebook Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 7:30 AM