MOHAMAD Muda (tengah) merasmikan Hari Terbuka Sedekad Muzium Warisan Melayu yang bertemakan “Merentasi Generasi, Mengenang Tradisi.
MOHAMAD Muda (tengah) merasmikan Hari Terbuka Sedekad Muzium Warisan Melayu yang bertemakan “Merentasi Generasi, Mengenang Tradisi.
Muhamaad Razis Ismail

PADA usia mencecah sedekad, Muzium Warisan Malaysia yang dibangunkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menarik ribuan pengunjung dan pelancong dari dan luar negara.

Keunikan muzium ini adalah lokasinya terletak di dalam universiti yang menempatkan pelbagai koleksi alam Melayu seperti manuskrip, tekstil, persenjataan dan artifak yang menjadi khazanah warisan Melayu begitu berharga.

Pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat seni bina tradisional Melayu iaitu Rumah Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunus bin Jabar dari Negeri Sembilan, Rumah Uda Noh bin Kanda Jaafar (Perak), Rumah Wan Muda bin Wan Hassan (Terengganu) dan Rumah Penghulu Hj Ismail bin Khatib Bakar (Pahang).

Selain itu, terdapat pameran peralatan pertanian seperti mesin kipas padi, pembajak sawah, pengisar dan perahu tradisional di bawah rumah-rumah tradisional itu.

Muzium ini menekankan fungsinya sebagai institusi pengajian tidak formal, sama ada pembelajaran menerusi lawatan ke muzium, penyelidikan berteras akademik dan juga penganjuran program dan aktiviti yang bersifat mendidik masyarakat mengenai warisan Melayu.

Malah bagi menarik kehadiran pengunjung, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk aktiviti makan bersila, membuat wau, menghasilkan bunga rampai, memasak makanan tradisi dan bermalam di muzium.

Baru-baru ini, Muzium Warisan Malaysia mengadakan Hari Terbuka Muzium Warisan yang dirasmikan Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin.

SEBAHAGIAN koleksi menarik yang dipamerkan di Muzium Warisan Melayu.
SEBAHAGIAN koleksi menarik yang dipamerkan di Muzium Warisan Melayu.

Pada masa sama, program ini diadakan sempena dengan sambutan Sedekad Muzium Warisan Melayu yang perasmiannya dijangka disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada 21 Jun ini.

Mohamad Muda berkata, penganjuran program ini dapat meningkatkan reputasi universiti sebagai menara ilmu yang komited dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya sebagai khazanah bangsa yang tiada nilai taranya.

Katanya, inisiatif ini dapat dijadikan landasan untuk menarik minat pelajar dan penyelidik baru dalam mengaktifkan budaya berilmu berbakti.

"Ini juga membuktikan bahawa penggunaan sumber yang optimum, penyelenggaraan dan penggunaan efisien dapat direalisasikan secara terancang dan sistematik.

"Dalam konteks ini, Muzium Warisan yang juga adalah makmal pembelajaran memperlihatkan bahawa penggunaan muzium untuk acara-acara seperti ini dapat memastikan bahawa sumber dan kemudahan universiti digunakan secara optimum," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Warisan Negara juga amat berbesar hati untuk menawarkan khidmat bantuan kepada muzium dari segi kepakaran dalam bidang berkaitan.

"Usaha ini dapat berkongsi pengetahuan mengenai perkembangan warisan Malaysia melalui pendidikan, untuk menggalakkan budaya penyelidikan dan analisis serta bersama-sama meneroka Khazanah Warisan Negara selain meningkatkan kepakaran dalam pelbagai bidang warisan dan menepati piawaian antarabangsa.

"Selain itu, program ini juga dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa terutama ke arah masyarakat Madani." katanya.

Sementara itu, Dekan FMBK, Profesor Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, program Hari Terbuka Muzium Warisan yang diadakan pada kali ini menyajikan pelbagai aktiviti yang diyakini dapat memberikan daya tarikan kepada khalayak sasar.

"Segala program yang diatur sebagai salah satu usaha melestarikan fungsi muzium supaya kekal relevan. Ia bukan hanya pada peringkat tempatan tetapi mampu menembusi lingkungan global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 6:30 AM