Pengunjung singgah gerai jualan Deuter di pekarangan SKBSB.
Pengunjung singgah gerai jualan Deuter di pekarangan SKBSB.
Amrullah Abdul Karim


Sungai Buaya: Pemilihan Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya (SKBSB) sebagai lokasi penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP) Sabtu lalu disambut baik pihak sekolah berkenaan.

Guru Besar SKBSB, Suzanah Md Amin berkata, beliau sangat berbesar hati dan bangga kerana sebagai sebuah akhbar terkemuka, Harian Metro (HM) memilih sekolahnya sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu.

“Sudah pasti kami berbesar hati dan bangga.

“Menjadi komitmen sekolah untuk sentiasa bergabung dengan komuniti. Jadi, ini memang projek besar yang memberi impak kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan secara tidak langsung kepada sekolah,” katanya.

SUZANAH Md Amin
SUZANAH Md Amin

Beliau berkata, usaha itu juga dapat memberi ruang kepada komuniti mengenali SKBSB memandangkan ada yang keliru antara SKBSB dengan Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya (SKSB) yang terletak di Kampung Sungai Buaya.

“Jadi ini satu penghormatan yang diberikan HM kepada kami.

“Ini semua atas persetujuan PIBG melalui saluran yang betul dan mengikut prosedur serta kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Program ini berjaya menarik ramai pengunjung,” katanya.

Menurutnya, platform HMMTBGP turut dimanfaatkan PIBG untuk mengumpul dana bagi membina tapak perhimpunan berbumbung di sekolah itu.

Katanya, PIBG turut membuka gerai jualan amal pelbagai jenis makanan dan minuman untuk tujuan itu.

“Ketika perhimpunan murid sekolah ini berhimpun dalam cuaca panas, jadi kita terpaksa mencari tempat berteduh di bawah bangunan sekolah tetapi ruang tak cukup luas,” katanya.

Beliau berharap usaha seumpama itu dapat diteruskan untuk kebaikan kedua-dua pihak.

Pengunjung memilih beg di gerai jualan Deuter.
Pengunjung memilih beg di gerai jualan Deuter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 8:53 AM