Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sejumlah 162 kilogram (kg) daging kerbau yang diisytiharkan sebagai daging rusa antara barang rampasan yang dilupuskan dalam program Pelupusan Ekshibit Perdana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di sini, tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, barangan kes dianggarkan bernilai lebih RM1,000 itu dirampas dari sebuah kedai pemborong di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, pada 2020.

"Mereka didapati mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengisytiharkan daging kerbau sebagai daging rusa.

"Sekilogram daging kerbau hanya berharga RM28 berbanding daging rusa asli antara RM50 hingga RM70," katannya di Stor Ekshibit Bukit Raja di sini, tadi.

Beliau berkata, selain daging kerbau, pihaknya turut melupuskan barangan tiruan seperti pakaian, kasut, baju, cermin mata dan aksesori telefon.

Katanya, tindakan itu berdasarkan 27 kes dari 2020 hingga 2021 membabitkan nilai keseluruhan RM340,000.

"Pelupusan ini adalah selepas kesemua kes berkenaan dijatuhkan hukum di mahkamah.

"Kes rampasan ini membabitkan pelanggaran Akta Hak Cipta 1987, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 4:05 PM
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin (tengah) menunjukkan pelbagai barangan rampasan termasuk barangan tiruan yang akan dilupuskan pada sidang media program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor di Klang. FOTO FAIZ ANUAR