Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (kiri) bersama pegawainya melupuskan arak tiruan ketika Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor di Seksyen 7 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (kiri) bersama pegawainya melupuskan arak tiruan ketika Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor di Seksyen 7 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barang tiruan bernilai RM1.64 juta, hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan di bawah Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor membabitkan barangan daripada 33 kes rampasan sejak 2019 hingga bulan ini.

"Semua barangan ini bagi kes pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cap Dagang 2019 yang sudah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran pelupusan.

"Antaranya, minuman keras, beg tangan, dompet, pelbagai jenis pakaian, pakaian sukan, video cakera padat (vcd), alat ganti kenderaan, salinan buku tanpa kebenaran penerbit asal dan lain-lain berkaitan.

"Ini pelupusan pertama selepas negara dilanda pandemik Covid-19," katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Ekshibit Selangor di Pusat Perindustrian Bukit Raja Seksyen 7 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril Azan berkata, pihaknya membuat 16 tangkapan iaitu tujuh orang yang disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan sembilan lagi bagi Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, semua mereka ditahan dalam tempoh Januari lalu hingga September dan pihaknya membuka sembilan kertas siasatan.

"Sebarang perlakuan yang melanggar mana-mana peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan,

khususnya di bawah perlindungan harta intelek dan membabitkan barangan bersubsidi, KPDNHEP tidak akan berkompromi dan boleh mengenakan tindakan perundangan sewajarnya," katanya.

Mengenai pemantauan terhadap kit ujian kendiri Covid-19, beliau berkata, setakat ini tiada peniaga dikesan menaikkan harga produk itu sesuka hati dan pihaknya juga tidak menerima sebarangan aduan daripada pengguna.

"Kita hanya terima aduan pada awal September tempoh hari sahaja dan mengambil tindakan segera sebab harga kawalan sudah digazetkan bermula 5 September lalu.

"Bermula 12 September sehingga kini, KPDNHEP Selangor mengambil tindakan tegas kepada peniaga jika ada aduan melebihi RM19.90 sebab ia satu keperluan kepada masyarakat," katanya.

Berhubung pemantauan harga ayam dan telur, katanya, ia terkawal dengan harga ayam dijual di bawah RM9.50 di seluruh Selangor.

Beliau berharap peniaga lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tidak munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 3:29 PM