FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Hasrat seorang peniaga yang ingin mengejar keuntungan dengan menjual daging kerbau yang diisytiharkan sebagai daging rusa akhirnya menjerat diri apabila dia ditahan pihak berkuasa, baru-baru ini.

Individu terbabit disyaki menjalankan perniagaan dan mempromosi produk daging rusa itu secara dalam talian melalui sebuah platform e-dagang.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengguna berkaitan daging itu yang disyaki bukan daging rusa.

Menurutnya, KPDNHEP menjalankan siasatan dengan membeli daging itu dan menghantarnya ke Jabatan Kimia Malaysia bagi ujian kecerakinan.

"Hasil laporan jabatan berkenaan mendapati sampel daging itu adalah daging kerbau berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.

"Hasil pemeriksaan di premis terbabit menemukan beberapa ketul daging di dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan, seberat satu kilogram.

"KPDNHEP menyita kesemua daging itu bersama dokumen perniagaan bagi tujuan siasatan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,000," katanya.

Azman berkata, siasatan awal mendapati modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan, pada harga RM42 sekilogram.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika boleh mengemukakan aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317, emel e-aduan.kpdnhep.gov.my, call centre di talian 1-800-886-800 dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 9:53 AM