Mohd Amin Jalil

Nilai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melupuskan pelbagai barang rampasan termasuk barangan tiruan bernilai RM24.61 juta, hari ini.

Ketua Setiausahanya Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pelupusan kesemua barangan itu dibuat selepas kes selesai di peringkat mahkamah.

Katanya, pelupusan itu membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Antara barangan yang dilupuskan adalah pakaian, kasut, aksesori, barangan elektronik, arak, minyak pelincir, alat mainan dan minyak wangi.

"Kementerian serius terhadap kegiatan mana-mana pihak atau individu yang menyalahguna hak cipta untuk sesuatu organisasi yang lain bagi tujuan penipuan untuk meraih keuntungan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelupusan Eksibit Mega 2022 dan majlis serah terima Stesen Alat Timbang Kenderaan KPDNHEP di Kompleks Penyimpanan Eksibit Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, di sini.

Azman berkata, pihaknya komited untuk membanteras kegiatan penipuan terbabit dengan melakukan operasi termasuk mendapatkan maklumat daripada sumber lain bagi mengesan kegiatan berkenaan.

"Justeru, sepanjang tahun ini, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP giat melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan termasuk penipuan secara dalam talian.

"Setakat September lalu, sebanyak 708,230 premis diperiksa di seluruh negara dan sebanyak 9,421 tindakan diambil membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM93.86 juta," katanya.

AZMAN memasukkan kasut tiruan ke dalam mesin khas pada Majlis Pelupusan Ekshibit Mega 2022 di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Nilai. FOTO Mohd Amin Jalil
AZMAN memasukkan kasut tiruan ke dalam mesin khas pada Majlis Pelupusan Ekshibit Mega 2022 di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Nilai. FOTO Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 3:45 PM