Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Selepas isu ayam segar, bekalan daging dari India pula didakwa semakin terhad di samping harganya melambung.

Tinjauan di pasar basah sekitar bandar raya ini termasuk di Pandan mendapati bekalan daging dari India dilihat tidak sebanyak seperti sebelum ini.

Harga daging import India kini turut naik kepada RM17 sekilogram (kg) berbanding hanya antara RM13 hingga RM14 sebelum ini.

Peniaga daging, Hafizul Mohamad, 40, berkata, daging dari India menjadi pilihan peniaga makanan dan pengguna kerana harganya lebih murah berbanding daging segar tempatan yang lebih mahal.

Namun katanya, sejak sebelum Aidilfitri lalu, bekalan daging dari India yang diterima daripada pembekal mula berkurangan hampir separuh daripada biasa menyebabkan stok terhad untuk dijual.

"Keadaan semasa bekalan daging import dari India terutama bahagian batang pinang sudah mula terputus, menyebabkan peniaga makanan terutama satay selain pengguna, mula mengeluh.

"Pembekal memaklumkan bekalan daging dari India sukar diperoleh sejak dua minggu lalu, malah peniaga daging kini juga sukar memperoleh tulang dan paru lembu dari Australia pula, yang menerima permintaan tinggi daripada peniaga dan pengguna.

"Harga daging import dari India walaupun naik antara RM3 hingga RM4 setiap kg, ia tetap lebih murah dan menjadi pilihan peniaga makanan serta pengguna berbanding daging segar berharga RM45 kg, yang hanya menerima sambutan ketika musim perayaan sahaja.

"Kini saya sebagai penjual hanya menerima 200 kg daging import India dari pembekal berbanding 400 kg sebelum ini, menyebabkan ia tidak dapat menampung permintaan dari peniaga makanan dan pengguna," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi peniaga daging di Pasar Taman Dahlia, Tampoi, Mohd Kamal Kamsan, turut mengakui bekalan daging import dari India semakin berkurangan dan terhad.

"Saya pun tidak pasti kenapa sejak sebelum Aidilfitri lalu bekalan daging import dari India semakin berkurangan.

"Pembekal ada memaklumkan daging import India menjadi rebutan banyak negara ketika ini menyebabkan bekalan terhad. Diharapkan bekalan daging India ke Malaysia tidak terjejas lama kerana ia akan memberi kesan kepada peniaga dan pengguna," katanya.

Sementara itu, peniaga makanan, Mohammad Izam Seran, pula berkata, kenaikan harga daging import India yang mendadak daripada RM215 sekotak kepada RM280, menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan berasaskan daging.

Katanya, kesemua peniaga makanan terutama nasi campur memang menggunakan daging import India sebagai ramuan utama masakan berasas daging.

"Sekotak ada 20 paket dengan setiap paket seberat 800 gram. Peniaga makanan memang akan beli sekotak bagi stok berniaga.Namun sejak harga daging India naik mendadak dua bulan lalu,saya terpaksa menaikkan harga makanan berasas daging kepada RM1.50 kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 1:24 PM