Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Peruncit daerah ini mendakwa sukar memperoleh bekalan minyak masak peket sekilogram sejak hampir sebulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan ada antara mereka tidak lagi menjual barang keperluan bersubsidi terbabit kepada pengguna.

Peruncit, Ikmal Mohd Reza, 23, mendakwa dia mula menghadapi gangguan bekalan minyak masak sejak November tahun lalu, namun ketika itu masih dapat memenuhi permintaan pengguna walaupun terhad.

"Pembekal maklum bekalan tidak cukup dan bulan lalu paling teruk kerana pesanan yang dibuat tidak pun dihantar.

"Pengguna pula marah dan menuduh kami menyembunyikan minyak masak peket kerana mahu menjualnya pada harga lebih mahal, sedangkan kami tidak menerima stok daripada pembekal," katanya.

Terdahulu tinjauan di sekitar Tampoi dan Perling di sini mendapati peruncit mengakui sudah tidak mendapat bekalan minyak masak peket RM2.50, namun masih ada pasar raya yang menjual barang keperluan itu secara terhad.

Seorang lagi peruncit, Siti Nabiha Zunaidi, 24, berkata, dia serik untuk menjual minyak masak peket disebabkan bekalannya sering bermasalah.

"Sejak November lalu stok minyak masak ini sudah bermasalah dengan pembekal memaklumkan kekurangan bekalan.

"Kami menerima harga RM2.44 bagi setiap peket daripada pembekal dan perlu menjual pada harga RM2.50, untung pun tak sampai 10 sen, setiap beg.

"Daripada sering dimarahi pengguna kerana tiada stok, saya putuskan adalah lebih baik tidak menjualnya lagi," katanya.

Isnin lalu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Hairul Anuar Bohro dilapor berkata, pihaknya menyiasat aduan pengguna berhubung ketiadaan minyak masak peket di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:50 PM
SITI Nabiha Zunaidi menunjukkan bekalan minyak masak paket polibeg sekilogram tiada di kedainya di Kipmall Tampoi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SITI Nabiha Zunaidi menunjukkan bekalan minyak masak paket polibeg sekilogram tiada di kedainya di Kipmall Tampoi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan