KAMSUL menyusun ayam di kedainya ketika tinjauan harga di Kipmart Tampoi, Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAMSUL menyusun ayam di kedainya ketika tinjauan harga di Kipmart Tampoi, Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Harga ayam dan daging segar di sekitar bandar raya ini, naik menjelang Ramadan. Tinjauan di beberapa pasar basah sekitar bandar raya ini termasuk di Tampoi dan Skudai mendapati harga ayam segar kini naik kepada RM8.50 sekilogram (kg) berbanding antara RM7.50 hingga RM7.80 kg, minggu lalu.

Harga daging segar juga naik kepada RM38 kg berbanding antara RM35 hingga RM36 kg, minggu lalu.

Peniaga ayam segar, Samsul Bahri Anuar, 42, berkata harga ayam segar mulai naik antara 80 sen hingga RM1 sejak hampir seminggu lalu.

Katanya, harga ayam naik setiap kali menjelang Ramadan kecuali tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sektor ekonomi tidak banyak dibuka.

"Sejak empat hari lalu, harga ayam segar mengalami kenaikan dan dijual peruncit RM8.50 sekilogram (kg) berbanding hanya RM7.50 hingga RM7.80 minggu lalu.

"Peniaga bukan sengaja mahu menaikkan harga ayam segar standard, sebaliknya kami jual runcit berasaskan harga ayam di ladang yang ditawarkan pemborong, jika harga yang ditawarkan itu tinggi, kami terpaksa jual tinggi dan jika harga ditawarkan rendah sudah pasti peniaga akan jual pada harga murah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penjual daging segar, Salim Abidullah, 27, berkata, harga daging naik antara RM2 ke RM3 setiap kilogram berikutan permintaan yang melambung dengan bekalan terhad.

Katanya, penternak memaklumkan harga daging segar terpaksa dinaikkan berikutan makanan ruji ternakan mereka kini juga sudah naik harga.

"Walaupun harga daging segar agak mahal, ia tetap mendapat sambutan dan menjadi pilihan umat Islam menjelang puasa," katanya.

Sementara itu, pesara kerajaan, Siti Amaninah Md Yassin, 63, berkata, harga barang keperluan menjelang Ramadan kali ini agak mahal berbanding tahun lalu.

"Saya baru beli sedikit sayuran untuk stok puasa dua hari namun harganya sudah lebih RM50.

"Apabila tengok harga ayam segar dan daging pula, harganya memang naik agak ketara berbanding minggu lalu dan sudah pasti akan membebankan keluarga berpendapatan rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 4:31 PM