NAJIB keluar dari mahkamah selepas menghadiri perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.  FOTO Hairul Anuar Rahim
NAJIB keluar dari mahkamah selepas menghadiri perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Najib Razak memintanya supaya tidak membabitkan diri dan campur tangan dalam (urusan) syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahmad Husni berkata, Najib berkata demikian ketika beliau berjumpa bekas perdana menteri itu di pejabatnya pada akhir 2009 bagi menyuarakan kebimbangan mengenai pelaburan usaha sama 1MDB dan syarikat perkhidmatan serta pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd (PSI).

Katanya, selepas penubuhan 1MDB, beliau mendapat maklumat daripada pegawai di Kementerian Kewangan yang menyatakan 1MDB ada membuat pelaburan usaha sama dengan syarikat Petrosaudi.

"Saya kemudian berjumpa semula PM di pejabat beliau pada akhir 2009.

"Saya katanya padanya: "1MDB tidak sepatutnya membuat pelaburan usaha sama dengan Petrosaudi kerana syarikat ini masih dalam proses mencari gali minyak.. Sekiranya minyak tidak ditemui, pelaburan itu akan hangus.

"Saya juga menyatakan; "1MDB tiada pengalaman dalam bidang itu dan sepatutnya diserahkan kepada Petronas.

"Tetapi beliau menyatakan: 'Husni, i don't want you to get involved and interfere about 1MDB' (Husni, saya tidak mahu kamu membabitkan diri dan masuk campur dalam (urusan) 1MDB".

"Selepas itu, saya tidak ada menjawab apa-apa lagi," katanya.

Ahmad Husni berkata, sejak itu beliau tidak langsung dibabitkan untuk apa-apa keputusan atau dimaklumkan mengenai pelaburan 1MDB.

Terdahulu, saksi ke-20 pendakwaan itu yang membacakan pernyataan saksinya berkata, apabila kerajaan memutuskan mengambilalih 1MDB daripada Kerajaan Negeri Terengganu melalui syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), beliau bertemu Najib pada pertengahan 2009 untuk memberitahunya bahawa 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa 'feasibility study' (kajian kebolehlaksanaan).

Ahmad Husni berkata, kajian itu adalah untuk membuat penilaian secara praktikal bagi cadangan sesuatu projek dan risiko dari segi perniagaan serta kewangan yang mana ia sangat penting bagi memastikan pelaburan syarikat menguntungkan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, Najib berkata beliau akan teruskan (dengan penubuhan 1MDB).

"Selepas dia jawab begitu, saya tidak komen apa-apa lagi," katanya.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, melalui kerjasama 1MDB-PSI, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai.

Syarikat PSI pula melabur menerusi aset bernilai AS$2 bilion dengan PSI dan 1MDB bersetuju memberikan diskaun pada nilai AS$1.5 billion.

Perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta berpunca daripada pindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star Ltd, iaitu syarikat yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, pada awal 2015, Najib memanggilnya untuk membantu menyelesaikan masalah 1MDB yang dibebani hutang tinggi.

Bagaimanapun, beliau tidak setuju mengambil tugas itu kerana tidak pernah terbabit dengan urusan syarikat berkenaan.

Apabila didesak Najib untuk mengambil tugas itu, Ahmad Husni berkata, beliau bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar supaya mengambil alih, bagaimanapun Wahid juga tidak bersetuju menerimanya.

Katanya, beliau kemudian bersama-sama Setiausaha Sulit Kanannya Imran Yasin Mohd Yusof) merangka 'Plan Rasionalisasi 1MDB'.

"Antara tugas utama saya ketika itu adalah mendapatkan maklumat berkaitan 1MDB, kedudukan kewangan, aset, senarai tanggungan hutang semasa dan perkara berkaitan pelaburan syarikat.

"Peranan saya bersama Imran hanya merangka pelan Rasionalisasi 1MDB sahaja, tetapi pelaksanaannya di bawah tanggungjawab pengurusan syarikat 1MDB dan saya tidak terbabit langsung," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 6:36 PM