MOHAMMAD Shafee  (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
MOHAMMAD Shafee (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Pendapat perundangan yang diberikan oleh seorang rakan kongsi sebuah firma guaman menyebabkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengalami kerugian AS$700 juta (kira-kira RM3.3 bilion), Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Perkara itu dinyatakan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika menyoal balas rakan kongsi yang juga Ketua Kumpulan Kewangan dan Amalan Projek firma guaman Wong & Partners, Lim Chin Hian.

Menurut Muhammad Shafee, seorang rakan kongsi firma guaman itu, Brian Chia, memberikan pendapat perundangan yang menjustifikasikan pindahan AS$700 juta kepada syarikat Good Star Ltd yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low melalui perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi Ltd (PSI).

Chin Hian bagaimanapun berulang kali mengulangi pendirian bahawa beliau tiada pengetahuan peribadi mengenai perkara itu, sehubungan itu tidak dapat memberikan ulasan mengenainya.

Saksi ke-32 pendakwaan itu berkata, beliau juga tidak mengetahui bahawa Good Star sebenarnya adalah syarikat milik Jho Low.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa pendapat perundangan Chia itu menguntungkan beberapa individu dalam 1MDB dan merugikan syarikat pelaburan terbabit.

Dalam perbicaraan sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Ltd (PSI) meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta.

Ia berpunca daripada pindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star Ltd, iaitu syarikat yang dikatakan milik Jho Low dan beban hutang itu berlaku selepas syarikat usaha sama masih dimiliki PSI.

Sementara itu Chin Hian berkata, beliau tidak mengetahui bahawa Chia memberikan pendapat perundangan berhubung pindahan dana AS$700 juta itu.

Shafee: Adakah kamu sedar walaupun wang itu dipindahkan ke Good Star dan hilang selama-lamanya, BrianChia memberi pendapat bahawa pindahan dana itu adalah 'okay'?

Chin Hian: Saya tidak tahu.

Shafee: Saya katakan, pendapat yang diberikan itu adalah untuk melindungi orang tertentu dalam pengurusan 1MDB.

Chin Hian: Saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi dan tidak boleh beri ulasan.

Shafee: Saya katakan kepada kaku, pendapat perundangan ini adalah untuk melindungi beberapa individu dalam pengurusan 1MDB?

Chin Hian: Saya tiada pengetahuan peribadi.

Shafee: Saya katakan kepada anda bahawa pendapat ini adalah untuk memberi manfaat kepada Jho Low dan mereka yang bersekongkol dengannya dalam pengurusan 1MDB sehingga 1MDB kehilangan AS$700 juta. (yang disokong oleh Brian Chia) ?

Chin Hian: Saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi dan tidak boleh berikan ulasan.

Chin Hian memberikan keterangan terhadap Najib, 69 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Chin Hian berkata, beliau tidak pernah berjumpa dengan Jho Low.

"Seratus peratus pasti, saya tidak pernah bertemunya sebelum ini," katanya.

Muhammad Shafee kemudian berkata, pembelaan akan memanggil saksi yang tidak didedahkan namanya, yang pernah hadir dalam satu mesyuarat bersama Chin Hian, Jho Low dan Chia.

Bagaimanapun, saksi itu tetap dengan pendiriannya bahawa beliau tidak pernah berjumpa ahli perniagaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 3:30 PM