Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah hadir untuk perbicaraan kes rasuah membabitkan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah hadir untuk perbicaraan kes rasuah membabitkan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Najib Razak patut merasa bimbang dan mengambil tindakan berhubung pelaburan AS$1 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam syarikat usaha sama (JVCo) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) kerana ia boleh menjejaskan kewangan negara.

Menurut Ahmad Husni ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebagai perdana menteri ketika itu yang juga pemimpin tertinggi negara selain mempunyai kuasa melantik dan memecat pengarah syarikat pelaburan strategik negara itu, Najib boleh menghubungi pengurusan 1MDB dan mula bertindak.

"Walaupun Najib pernah beritahu saya supaya tidak masuk campur dalam perkara itu, ada beberapa kali saya tetap berjumpa dengannya untuk menyuarakan perkara berkenaan...sehingga 2016 baru beliau mengambil tindakan dengan memecat Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

"Beliau (Najib) hanya berkata, bahawa Good Star akan membuat pembayaran kepada PetroSaudi. Beliau patut bertindak secepat mungkin, tetapi tidak berbuat apa-apa. Jika saya seorang perdana menteri, sudah tentu saya akan bertindak kerana ia akan menjejaskan kewangan negara.

"Saya bukan menghina perdana menteri. Saya bercakap melalui perspektif saya, ini mengenai mereka (1MDB) pinjam duit yang dijamin kerajaan," katanya.

Ahmad Husni sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau bertemu Najib di pejabat beliau dan menyatakan 1MDB tidak sepatutnya membuat pelaburan usaha sama dengan PSI kerana syarikat ini masih dalam proses mencari gali minyak dan sekiranya minyak tidak ditemui, pelaburan usaha sama akan hangus.

Shahrol Azral melalui keterangannya di mahkamah sebelum ini, berkata, Pengerusi 1MDB ketika itu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak berpuas hati dengan pembayaran AS$700 juta ke akaun Good Star Limited milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, juga yang syarikat sekutu PSI.

Melalui syarikat usaha sama (JVCo) 1MDB-PSI itu, 1MDB melakukan pembayaran dalam dua transaksi berbeza, masing-masing AS$700 juta ke akaun Good Star dan juga AS300juta ke akaun JVCo.

Perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta disebabkan pindahan dana ke dalam Good Star.

Sementara itu, berlaku sedikit ketegangan ketika Muhammad Shafee menyoal saksi ke-20 pendakwaan itu mengenai surat dihantarnya kepada Najib pada 23 Ogos 2010 melalui Setiausaha Sulit Allahyarham Datuk Azlin Alias bagi menyuarakan kebimbangannya mengenai urusan 1MDB yang boleh menjejaskan Kerajaan dan Najib.

Menurut Muhammad Shafee, beliau mendapat arahan daripada anak guamnya (Najib) bahawa surat itu tidak pernah diterimanya dan Ahmad Husni tidak pernah menulis surat kepadanya dalam Bahasa Malaysia, apatah lagi dengan menulis perkataan Assalamualaikum dalam bahasa Arab.

Ahmad Husni yang memberikan penjelasannya, berkata surat itu adalah dalam kapasiti peribadi dan tidak pernah sepanjang hayatnya menulis 'Assalamualaikum' dalam bahasa Arab.

Ditanya Muhammad Shafee, bagaimana saksi itu dapat memastikan surat itu sampai ke tangan Najib, yang dijawabnya; "Kalau tidak sampai, ia bermakna pegawai tidak cekap.

Muhammad Shafee: Apa salahnya jika kamu mendapatkan pengesahan penerimaan surat itu daripada Azlin?

Ahmad Husni: Saya dah cakap, ini surat peribadi, Apa masalah kamu? Jika dia tidak terima, tidak terima lah.

Muhammad Shafee: Sama dalam perbicaraan SRC International dan sekarang dalam perbicaraan ini, kalau buat salah, kamu akan letakkan kesalahan kepada orang yang dah meninggal dunia.

Ahmad Husni: Jangan menjerit. Awak sebenarnya yang meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Muhammad Shafee: Saya tidak menjerit dan bukan bersikap tidak hormat, saya cuma bercakap dengan nada yang kuat supaya semua dapat dengar, lagipun ada benda ini (sambil mengetuk penghadang lutsinar). Sri Ram (Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram) bercakap lagi kuat.

Ahmad Husni: Sri Ram...Sri Ram. Saya bercakap mengenai awak, bukan Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 6:12 PM