Najib Razak hadirĀ  pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Najib Razak hadirĀ  pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia kini terpaksa menanggung hutang berjumlah AS$3 bilion yang dipinjam syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2013 yang diluluskan melalui surat sokongan ditandatangani Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan ketika itu.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata pihaknya tidak pernah menerima laporan daripada 1MDB mengenai bagaimana wang itu dibelanjakan dan digunakan.

Saksi ke-26 pendakwaan itu berkata, 1MDB gagal untuk membuat bayaran seperti terma ditetapkan, menyebabkan kerajaan pada masa ini terpaksa menanggung bayaran balik hutang terbabit.

"Pinjaman AS$3 bilion itu adalah wang yang diperoleh daripada bon diterbitkan anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL), untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investment PJS.

"BPKA bertanggungjawab untuk mendapatkan laporan daripada 1MDB, tetapi sepanjang bertugas di BPKA, saya tidak ada menerima apa-apa laporan daripada pihak pengurusan syarikat mengenai penggunaan dana berkenaan.

"Pihak 1MDB bertanggungjawab mengemukakan laporan pelaburan berdasarkan tujuan permohonan surat sokongan yang dikemukakan kepada MOF, namun 1MDB tidak ada mengemukakan apa-apa laporan," katanya.

Siti Zauyah yang membacakan pernyataan saksinya, berkata beliau tidak pernah melihat dokumen perjanjian antara 1MDB dan Aabar seperti yang dimaklumkan dalam permohonan syarikat kerana laporan mengenai usaha sama tidak pernah dikemukakan kepada bahagiannya.

Beliau berkata, selain itu antara dokumen yang diminta pihaknya secara konsisten adalah, laporan kewangan beraudit, tetapi 1MDB turut gagal mengemukakan dokumen berkenaan.

"Saya tidak dapat pastikan sama ada 1MDB mendapat kelulusan khas daripada YAB Menteri Kewangan berhubung perjanjian usaha sama yang hendak mereka jalankan ini," katanya

"Selepas pengeluaran surat sokongan kepada 1MDB pada 2013, Kementerian Kewangan tidak ada lagi mengeluarkan apa-apa jaminan kepada syarikat itu," katanya.

Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Siti Zauyah berkata, pegawai 1MDB melaporkan segala operasi syarikat secara terus kepada perdana menteri ketika itu.

Beliau berkata, Menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai garis panduan khusus untuk setiap syarikat di bawahnya kawalannya, di mana mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada kementerian sebelum dibenar meneruskan pelaburan.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan 1MDB di mana urusan syarikat dilaporkan terus kepada Najib yang juga menteri kewangan ketika itu.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa pihak kementerian tidak jelas mengenai tujuan kerjasama antara 1MDB dan PetroSaudi International Limited (PSI) kerana Menteri Kewangan Diperbadankan tidak dirujuk oleh 1MDB sebelum keputusan kerjasama itu dibuat.

Saya tidak tahu jika 1MDB menerima kelulusan secara terus daripada perdana menteri (ketika itu)," katanya yang turut memaklumkan melakukan pencarian secara dalam talian mengenai PSI, namun tidak menemui apa-apa hasil.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar, Siti Zauyah berkata beliau memaklumkan perkara itu kepada Menteri Kewangan II (ketika itu), Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa mereka tidak mempunyai jalan lain untuk mendapatkan maklumat mengenai PSI.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa, pengurusan 1MDB diketuai bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak memberikan kerjasama yang baik dengan pihaknya.

"Kami memanggilnya untuk mesyuarat tetapi janji temu sentiasa dibatalkan saat akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 4:12 PM