Maimon (tengah) bersama sanak saudara di Kampung Parit Tengah, Ayer Baloi Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Maimon (tengah) bersama sanak saudara di Kampung Parit Tengah, Ayer Baloi Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki


Pontian: Selepas 50 tahun menghilangkan diri, Maimon Tayib akhirnya terbuka hati untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Kampung Parit Tengah, Ayer Baloi, di sini meskipun lima adik-beradiknya sudah meninggal dunia.

Kisah Maimon, 75, yang meninggalkan keluarga tanpa khabar berita pernah dilapor Harian Metro pada 2012, dengan ahli keluarga merayu dia pulang.

Dilaporkan bahawa Maimon keluar dari rumah selepas kematian ibu pada 1972 dan dia dikatakan memberitahu arwah adiknya, Hassim untuk hidup berdikari serta sudah memperoleh pekerjaan di Johor Bahru.

Sejak itu, Maimon tidak kembali dan tiada khabar berita sehingga semalam, apabila tampil di muka pintu rumah adik iparnya, Khatijah Samat, 71, ditemani anak, Roslan, 41.

Anak saudara Maimon, Hasni Harun, 44, berkata, mereka sekeluarga menyambut kehadiran wanita itu dengan senang hati.

"Sebelum ini, kami bersama ahli keluarga lain berusaha untuk mencarinya tetapi gagal. Alhamdulillah syukur, makcik yang dirindui semua ahli keluarga pulang ke pangkuan keluarga.

"Namun apa yang menyedihkan, kepulangannya tanpa lima adik-beradiknya yang lain kerana mereka sudah meninggal dunia, " katanya di sini, hari ini.

Maimon yang merupakan anak keempat daripada enam beradik enggan ditemubual. Dia mempunyai enam anak, 21 cucu dan dua cicit, kini menetap di Kampung Semeneh Cempaka, Batu Kurau, Perak.

Dalam pada itu, Roslan berkata, dia tidak mengetahui apa yang menggerakkan hati ibunya untuk kembali ke kampung halaman.

"Memang sebelum ini kami memujuk ibu untuk pulang menjengah keluarganya tetapi dia tidak mahu. Kami pun hanya tahu kampung ibu di Pontian tapi tidak tahu lokasi dan tiada juga nombor telefon.

"Alhamdulillah akhirnya ibu sendiri rela hati untuk pulang dan dia berhajat menziarahi pusara ibu bapanya dan adik-beradik serta mahu bermaaf-maafan, juga mengeratkan silaturrahim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 11:05 AM