Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang wanita melahirkan rasa lega selepas dua kakak dan seorang adik perempuannya yang terlantar akhirnya lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 di rumah mereka di Kampung Telok, Sungai Dua di sini, hari ini.

Azizah Mohamed, 58, berkata, dia sebelum ini buntu memikirkan cara untuk membawa tiga adik-beradiknya berusia 54 hingga 67 tahun ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selepas memperoleh panggilan temujanji.

Bagaimanapun, katanya, urusan itu dipermudahkan apabila kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberikan suntikan kepada mereka bertiga.

"Terima kasih KKM buat program suntikan dari rumah ke rumah. Ia beri kemudahan kepada pesakit terlantar seperti kakak dan adik saya untuk menerima suntikan vaksin.

"Sebelum ini, saya ada menerima panggilan temujanji tetapi tidak tahu macam mana hendak ke PPV, tambahan pula perlu ada kenderaan khas untuk bawa mereka yang sudah semestinya memerlukan perbelanjaan besar," katanya ditemui di rumahnya.

AZIZAH (kiri) melihat Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) memberi suntikan vaksin Covid-19 Pfizer kepada kakak dan adiknya yang terlantar tidak mampu menguruskan diri sendiri di Kampung Telok. FOTO Danial Saad
AZIZAH (kiri) melihat Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) memberi suntikan vaksin Covid-19 Pfizer kepada kakak dan adiknya yang terlantar tidak mampu menguruskan diri sendiri di Kampung Telok. FOTO Danial Saad

Menurutnya, dia kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada anak saudara yang kemudiannya menghubungi KKM untuk memaklumkan perkara berkenaan.

"Syukur, apabila sudah menerima vaksin, ia membantu mereka melindungi diri daripada virus pandemik ini," katanya yang menjaga tiga adik-beradiknya itu selepas kematian ibu bapa mereka beberapa tahun lalu.

Menurut Azizah, dia sanggup berhenti kerja bagi memberi tumpuan terhadap adik-beradiknya yang memerlukan perhatian penuh.

"Kakak dan adik terlantar sejak kecil akibat demam panas. Kini, saya dengan bantuan adik lelaki dan abang menjaga mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:17 PM