Murid SK Sungai Durian, Aida Asna Aharis berpeluang membeli baju Raya di Pasaraya Mydin Mutiara Rini di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass.
Murid SK Sungai Durian, Aida Asna Aharis berpeluang membeli baju Raya di Pasaraya Mydin Mutiara Rini di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dalam kesibukan umat Islam membuat persediaan untuk meraikan Aidilfitri, terdapat ibu bapa tiada kemampuan menyediakan kelengkapan baharu bagi ahli keluarga.

Aida Asna Aharis, 11, dari Pontian, berkata 1 Syawal kali ini amat bermakna kerana dapat memakai baju raya selepas tiga tahun dia dan tujuh adik-beradiknya tiada pakaian baharu.

Menurutnya, bapanya hanya bekerja sebagai tukang rumah, manakala ibunya pula suri rumah.

"Saya bersyukur kerana sambut Aidilfitri tahun ini dengan baju baharu yang dibeli hari ini, hari raya kali ini amat bermakna bagi saya.

"Guru menemani dan membantu saya memilih baju baharu ini dan dapat mencium bau baju raya baharu.

"Namun, saya tetap sedih kerana adik-beradik lain hanya dapat meraikan Aidilfitri dengan memakai baju lama," kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Durian yang bercita-cita menjadi guru.

Aida antara 100 anak-anak yang terpilih dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Pontian di Skudai, di sini, hari ini.

Murid SK Sungai Bunyi, Siti Balqis Afindi, 12, berkata dia bersama adiknya, Mohd Narhan, 7, tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila terpilih dalam program berkenaan.

"Sumbangan ini pasti dapat meringankan beban ibu untuk buat persiapan beli baju baharu menjelang Aidilfitri kerana ayah hanya kerja kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:01 PM