Shila dan adiknya, Amir Syahir bergandingan dalam FD3. Foto Genes Gulitah
Shila dan adiknya, Amir Syahir bergandingan dalam FD3. Foto Genes Gulitah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Shila Amzah, 33, mahu memberi fokus pada persiapan untuk pembabitannya dalam program Famili Duo musim ketiga (FD3) pada Ahad ini bersama adiknya Shahir Amzah, 28.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah berkata, dia juga tidak mahu memberi komen mengenai dakwaan tidak lagi berhubungan baik dengan adik-beradik serta ibunya, Fauziah Sarman, 55.

"Saya tak nak komen isu keluarga buat masa ini kerana mahu fokus dengan persiapan untuk program Famili Duo yang akan bermula pada Ahad ini.

"Saya dan adik, Shahir masih giat membuat persediaan untuk persembahan kami dan semoga semuanya berjalan lancar. Doakan kami dapat buat yang terbaik," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, hangat di media sosial mengenai kemelut berlaku di antara Shila dan adik-beradiknya selepas penyanyi lagu Patah Seribu itu dikatakan berhasrat menjual rumah banglo miliknya yang kini didiami seisi keluarga.

Difahamkan, ibu seorang anak lelaki ini juga tidak bertindak kejam terhadap keluarga kerana bercadang mencarikan kediaman lain yang lebih baik untuk didiami ibu dan adik-beradiknya itu.

Terdahulu, isu panas keluarga ini timbul apabila adik bongsu Shila iaitu Syada Amzah, 25, memuat naik status di media sosial mempersoalkan rumah yang didiami bersama ibunya mahu dijual.

Dalam hantaran dibuat itu, Syada turut meluahkan kekecewaan apabila menyamakan situasi dirinya seperti haiwan jalanan yang tidak mempunyai rumah.

Bagaimanapun, Shila kemudian tampil membidas kenyataan Syada dan berharap adiknya dapat menyimpan rapi urusan dalam kain keluarga mereka dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 2:02 PM