GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Satu lagi kes jangkitan rabies dikesan di Selangor membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun di daerah Kuala Langat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata kes terbabit disahkan pada 22 April lalu dan ia menjadikan dua kes jangkitan rabies di negeri ini setakat ini.

Beliau berkata, terdahulu warga emas itu dirujuk ke Klinik Kesihatan Telok Panglima kerana masalah anemia (pucat) sebelum dimasukkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 20 April lalu.

Katanya, ahli keluarga mangsa mendapati tingkah laku warga emas itu berubah kerana dia adalah seorang yang aktif dan mampu menguruskan diri sendiri.

"Pemeriksaan mendapati dia mempunyai luka di kaki kanannya yang tidak sembuh sejak dua bulan yang lalu. Sejak dua minggu lalu juga, dia turut mengadu sakit kepala dan hilang selera makan.

"Dia turut mempunyai sejarah digigit anjing liar di kawasan kediamannya di Pulau Carey dua bulan lalu," katanya menerusi Facebook rasmi JKNS.

Dr Sha'ari berkata sampel cecair tulang belakang (CSF) dan biopsi nuchal mangsa dilakukan pada 22 April dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Jelasnya, warga emas itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di wad isolasi HTAR.

JKNS pada 10 April lalu memaklumkan terdapat satu kes kematian membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan rabies pada 4 April.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 9:36 PM