GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Tiada virus rabies dikesan pada anjing yang berkeliaran di daerah Petaling Jaya menerusi persampelan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS dalam kenyataan memaklumkan, jabatan itu mengaktifkan survelan dan persampelan bagi mengesan rabies terhadap anjing yang berkeliaran susulan kematian seorang lelaki warga tempatan di daerah Petaling pada 10 Mac lalu yang disahkan akibat jangkitan rabies.

"Setakat ini keputusan ujian Makmal Veterinar menggunakan teknik ujian Direct Fluorescent Antibody Test (DFAT) dari sampel yang diambil menunjukkan negatif terhadap virus rabies.

"DVS akan terus mengaktifkan survelan dan persampelan di kalangan anjing berkeliaran di Daerah Petaling untuk mengesan rabies.

"Sehingga kini, tiada aduan membabitkan kematian anjing dijangkiti rabies atau yang menjurus kepada tanda klinikal rabies di Selangor," tulis kenyataan itu tadi.

Menerusi kenyataan itu, DVS turut memaklumkan bahawa program kawalan rabies dijalankan secara berterusan di seluruh Negara.

Jelas DVS, hasil pemantauan dan ujian makmal (DFAT) ke atas sampel yang diuji selama ini menunjukkan tiada rabies dikesan.

"Orang awam dinasihatkan supaya segera melaporkan ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar terdekat jika terdapat perubahan tingkah laku pada anjing samada menjadi agresif atau dungu.

"Kes gigitan anjing perlu segera dilaporkan ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar dan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

"DVS juga menasihatkan orang awam tidak panik dan memberi kerjasama dalam menangani kes rabies dalam kalangan haiwan," menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu pada Ahad lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa berlaku kematian seorang lelaki warga tempatan di daerah Petaling disahkan akibat jangkitan rabies.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, berkata perkara itu disahkan pada Isnin (4 April) lalu selepas keputusan ujian makmal diperoleh.

Beliau berkata, mangsa berusia 40 tahun itu meninggal dunia di rumahnya.

"Mayat mendiang dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, dan keputusan ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 2:28 PM